Sabtu, 16 April 2022 | 3:52pm

Semarak Kasih Ramadan KPLB-BH dapat sambutan penduduk FELDA Lubuk Merbau

PADANG TERAP: Program Semarak Kasih Ramadan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)-BH mendapat sambutan luar biasa hampir 500 penduduk FELDA Lubuk Merbau, hari ini.

Aktiviti yang diadakan di pekarangan Masjid Al Barakah, berjaya menarik perhatian penduduk apabila mereka turut serta memasak dan menyediakan hidangan berbuka puasa.

Pengerusi Masjid Al Barakah, Sharunniza Md Tajuddin, berkata pihaknya berterima kasih kepada KPLB dan BH kerana memilih mengadakan program berkenaan di FELDA Lubuk Merbau.

"Penempatan kami ini terletak agak jauh dari bandar dan kami sememangnya gembira apabila program berbuka puasa yang turut meraikan penduduk dapat diadakan di kampung ini.

"Sekurang-kurangnya orang luar dapat mengetahui kampung kami dan dapat melihat semangat penduduk yang masih erat antara satu sama lain," katanya ketika ditemui.

Perasaan sama turut dikongsi Rozita Saad, 54, yang menyifatkan program yang pertama kali dianjurkan di perkampungan sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan unik.

"Program ini memang berbeza kerana penduduk kampung terbabit secara langsung dalam memasak dan menyiapkan juadah berbuka berbanding majlis kelaziman yang kami hanya sekadar hadir.

"Paling menarik apabila anak penduduk turut dapat menyertai aktiviti 'Smart Solat' yang diadakan pada sebelah pagi, yang bertujuan membimbing mereka dalam beribadah," katanya.

Bagi warga emas, Senawi Ali, 68, dia teruja apabila dapat bersama membantu memasak hidangan bubur lambuk istimewa Masjid Al Barakah.

"Bubur lambuk kami ini dikatakan yang paling sedap di Padang Terap apabila menjadi rebutan penduduk, malah ada orang luar sanggup datang ke sini bagi mendapatkan juadah berkenaan.

"Adalah diharap program sebegini dapat diteruskan kerana ia menjadi antara peluang penduduk dapat berkumpul beramai-ramai," katanya.

Sebahagian kanak-kanak belajar cara mengambil wuduk pada Program Semarak Kasih Ramadan KPLB-BH di Masjid Al-Barakah, Felda Lubuk Merbau, Padang Terap. STR/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Sebahagian kanak-kanak belajar cara mengambil wuduk pada Program Semarak Kasih Ramadan KPLB-BH di Masjid Al-Barakah, Felda Lubuk Merbau, Padang Terap. STR/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Berita Harian X