Jumaat, 15 April 2022 | 5:33pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Permintaan tinggi bukan alasan naik harga tiket bas - FOMCA

KUALA LUMPUR: Permintaan tinggi tiket bas ekspres untuk pulang ke kampung sempena sambutan Aidilfitri bukan alasan wajar pengusaha bas ekspres menaikkan harga tambang sesuka hati.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata sepatutnya pengusaha bas ekspres menaikkan harga tiket mengikut arahan dikeluarkan pihak berkuasa seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Jika berlaku kenaikan harga tiket bas ekspres melangkaui seperti ditetapkan pihak berkuasa, katanya, FOMCA menggesa supaya pengusaha industri berkenaan memperjelaskan alasan mereka berbuat demikian.

"Kita tak pasti apakah punca kenaikan tersebut sama ada ia disebabkan permintaan tinggi maka tambang bas naik. Seingat saya ia (ketetapan harga tiket) di bawah kawalan APAD. Melainkan mereka naikkan surcaj tambahan mungkin boleh berlaku (kenaikan harga).

"Jika lebih daripada itu, tak sewajarnya. Pengguna boleh buat aduan sama ada (harga) tambang itu berlaku atau tidak. Tak sepatutnya harga meningkat disebabkan permintaan.

"Sepatutnya tambang bas tak kira musim termasuk pada musim perayaan sekalipun atau tidak, sama saja. Melainkan pengusaha mengenakan harga tiket mahal kerana menyediakan bas tambahan," katanya kepada BH hari ini.

Bagi memastikan pengusaha bas ekspres tidak mengambil kesempatan bagi menjaga hak pengguna, Mohd Yusof menyarankan supaya dilakukan pemantauan dengan lebih kerap mencakupi aspek harga tambang, perjalanan dan sebagainya.

Katanya, ia bagi melindungi hak pengguna khususnya di stesen bas di kawasan tertentu yang mempunyai pilihan syarikat bas ekspres yang terhad.

"Kalau macam di bandar besar tidak apa kerana banyak pilihan boleh pengguna buat, termasuk perbandingan harga tambang bas. Kalau cuma ada satu atau dua pilihan jenis bas, maka pengguna terpaksa beli tiket bas yang harganya mahal," katanya.

Berita Harian X