Jumaat, 15 April 2022 | 4:06pm
Lokasi kejadian bot karam yang mengorbankan lima nyawa di perairan Pulau Timbun Mata, Semporna. - Foto ihsan APMM
Lokasi kejadian bot karam yang mengorbankan lima nyawa di perairan Pulau Timbun Mata, Semporna. - Foto ihsan APMM

Tragedi bot karam: Polis buka kertas siasatan kenal pasti punca

SEMPORNA: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung tragedi bot karam yang mengorbankan lima nyawa, termasuk tiga kanak-kanak, di perairan Pulau Timbun Mata, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti punca insiden kira-kira jam 8.50 malam itu.

"Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dari segenap aspek, termasuk sama ada bilangan penumpang dibawa bot terbabit melebihi kapasiti yang dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata, kejadian berlaku ketika bot itu dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kampung Bakung-Bakung menuju ke Kampung Tandoan bersama seorang juragan dan 20 penumpang yang juga penduduk tempatan berumur antara satu hingga 65 tahun.

Susulan tragedi itu, beliau berkata, lima mangsa membabitkan dua wanita, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua hingga 40 tahun ditemukan lemas.

"Seramai 14 mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung, manakala dua lagi masih hilang membabitkan seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berumur tujuh serta 14 tahun.

"Kesemua mangsa yang meninggal dunia kemudian dihantar ke Hospital Semporna untuk tindakan lanjut," katanya sambil memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan pelbagai agensi sedang giat dijalankan.

Beliau turut menasihati semua pengusaha dan pengendali bot penumpang serta penduduk setempat supaya mengutamakan keselamatan dengan mengikut kapasiti bot, selain sentiasa memakai jaket keselamatan.

"Sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Daerah (IPD) Semporna, Inspektor Khadijah, melalui talian 019-8718002 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Berita Harian X