Jumaat, 15 April 2022 | 3:54pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Tambang bas tak pernah naik sejak 2014, pengguna keliru

KUALA LUMPUR: Pengguna didakwa terkeliru dengan harga tiket bas mengikut kelas yang ditawarkan sehingga mereka menyangka berlaku kenaikan harga tambang pengangkutan awam itu sempena sambutan Aidilfitri.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali, berkata sejak 2014 lagi, harga tiket bas ekspres tidak dinaikkan.

Justeru, beliau menasihati orang ramai yang hendak menempah dan membeli tiket bas ekspres untuk pulang ke kampung supaya memeriksa dengan teliti jenis bas dan harga yang ditawarkan bagi mengelak kekeliruan.

"Ada tiga kelas atau jenis bas. Pertama kelas ekonomi yang harga lantainya (minimum) 9 sen sekilometer. Kelas eksekutif pula, kadar lantainya 15 sen sekilometer. Manakala kelas perdana, kadar lantai 25 sen sekilometer.

"Kelas ekonomi, tempat duduk tunggal minimum 38 kerusi, tidak ada kemudahan. Bagi kelas eksekutif boleh naik harga suka hati tetapi pengusaha tak naikkan. Ia ada 36 hingga 30 kerusi, ada pelayan, minuman ringan, kemudahannya lebih dan lebih selesa kerana ruang kerusi jauh sedikit.

"Kelas perdana, maksimum tidak boleh lebih 25 kerusi dalam bas. Ada bermacam-macam kemudahan. Ada lampu membaca, pelayan, televisyen, pemain video, kerusi sandar dilengkapi tempat letak makanan macam dalam kapal terbang," katanya kepada BH hari ini.

Dengan tawaran tiga kelas bas berbeza, Mohamad Ashfar berkata, pengguna ada yang keliru sama ada mereka beli tiket bas kelas eksekutif ataupun ekonomi.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan tiket mahal itu dijual oleh 'ulat tiket' di stesen atau terminal bas yang menjual pada harga mahal.

"Tak boleh (naik harga tiket sesuka hati). Biasanya musim perayaan ada polis dan anggota penguatkuasaan di terminal bas. Ulat tiket ada yang jual, banyak di (stesen bas) Skudai. Di TBS (Terminal Bersepadu Selatan) kurang," katanya

Mohamad Ashfar berkata menjelang musim perayaan terutama sambutan Aidilfitri, pengusaha bas ekspres kelas ekonomi perlu menanggung kos tinggi khususnya untuk membayar gaji pemandu dan pekerja lain.

Katanya kebanyakan pemandu bas adalah orang Islam dan mereka memilih untuk bekerja sempena Aidifitri kerana dibayar tiga kali ganda.

"Ditetapkan pada 1 September 2008 sampai sekarang tak berubah langsung kecuali untuk bas kelas ekonomi untuk musim perayaan masa waktu LPS (Lesen Perubahan Sementara) kelonggaran waktu perayaan 10 peratus surcaj.

"Mengapa? Pertamanya kita kena bayar tiga kali ganda gaji kepada kedua-dua pemandu dan trip master, kaunter tiket termasuk mekanik di bengkel untuk bersiap sedia kerana mereka bekerja pada waktu cuti umum," katanya.

Berita Harian X