Jumaat, 15 April 2022 | 1:51pm

KPDNHEP akan runding harga tiket bas dengan MOT

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengadakan rundingan dengan Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat, berhubung isu kenaikan harga tiket bas sempena musim perayaan Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata rundingan itu bagi membincangkan peranan KPDNHEP yang boleh dijalankan berkaitan isu berkenaan.

Beliau berkata, meskipun KPDNHEP adalah pihak yang 'menjaga' harga tetapi isu kenaikan harga tiket bas bersangkutan dengan kementerian dan agensi lain.

"Harga tiket bas ini memang kami di KPDNHEP menjaga tetapi harga ini pelbagai...dikawalselia mana-mana agensi dan kementerian lain.

"Kalau bas ini kebiasannya...Kementerian Pengangkutan biasanya bersama. Tetapi penguatkuasaan kita boleh membantu dan lazimnya, lebih elok Kementerian Pengangkutan membuat penjelasan.

"Kita memanglah akan berunding segera kerana hari raya akan tiba," katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan ulangtahun Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ke-20 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri, Datuk Rosol Wahid; Ketua Setiausaha KPDNHEP, Azman Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz.

Semalam BH melaporkan, kadar tambang bas ekspres akan dinaikkan hampir 10 peratus kepada 10.2 sen bagi setiap kilometer bermula hujung bulan ini, menjelang sambutan Aidilfitri.

Ia berdasarkan satu pekeliling dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bertarikh 21 Mac lalu, yang memaklumkan kenaikan kadar tambang bas ekspres itu berkuatkuasa sepanjang tempoh sah laku Lesen Perubahan Sementara (LPS).

Selain harga tiket bas, harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak turut didakwa naik sehingga 500 peratus.

Isu berkenaan sekali gus mengundang rungutan rakyat yang masih dibebani dengan kenaikan harga pelbagai barang keperluan asas harian lain termasuk ayam, telur, ikan, tepung gandum dan roti.

Mengulas harga tiket penerbangan mahal, Nanta Linggi berkata beliau difahamkan Kementerian Pengangkutan bersama agensi berkaitan sedang memikirkan sesuatu.

Bagi pihaknya, beliau berkata KPDNHEP belum terbabit dengan hal itu lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexandre Nanta Linggi, (kanan), melawat ruang pemeran selepas merasmikan sambutan yang ke-20 penubuhan SSM, di Wisma SSM. - Foto NSTP/Fathil Asri
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexandre Nanta Linggi, (kanan), melawat ruang pemeran selepas merasmikan sambutan yang ke-20 penubuhan SSM, di Wisma SSM. - Foto NSTP/Fathil Asri
Berita Harian X