X
Jumaat, 15 April 2022 | 1:20pm

Bukti tiada kem dalam UMNO - Ismail Sabri

PUTRAJAYA: Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), membuktikan tiada kem tertentu dalam parti itu.

Ismail Sabri berkata, ia jelas menunjukkan bahawa persepsi masyarakat yang mendakwa wujud kumpulan berpuak dalam UMNO, adalah tidak benar kerana solidariti parti itu terus kukuh.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden, Timbalan Presiden dan lima kepemimpinan tertinggi MKT yang sebulat suara menyokong saya sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15.

"Ini menunjukkan UMNO terus bersatu walaupun (ada dakwaan bahawa wujud) macam-macam kumpulan dan sebagainya dalam parti.

"Keputusan semalam jelas menunjukkan apa yang diperkatakan oleh masyarakat itu adalah tidak benar kerana UMNO terus kukuh, solidaritinya kuat dan tiada kem pun dalam parti ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Coop Community Mart Koperasi Pudina Putrajaya Berhad, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau bagaimanapun tidak tahu lagi bila PRU15 akan diadakan.

Ditanya mengenai keputusan MKT UMNO bahawa Memorandum Persefahaman (Mou) antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai depan tidak akan diteruskan lagi pula, beliau memaklumkan pada kebiasaannya, Kerajaan Persekutuan akan senada dengan keputusan MKT.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, MKT semalam membuat keputusan untuk menunggu hingga tarikh akhir MoU itu.

Namun, beliau berkata, sebarang perubahan yang berlaku sebelum tarikh luput MoU itu perlu dibawa ke mesyuarat MKT.

"Bagaimanapun, bulan tujuh ini (Julai depan) macam-macam... kalau berlaku apa-apa yang memerlukan sebarang perubahan, saya perlu bawa ke dalam MKT semula. Itu keputusan MKT.

"Saya sebagai Naib Presiden UMNO, tentu saja tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh MKT.

"Sekarang masih April, jadi kita tunggulah. Kalau tidak ada apa-apa, keputusan itu dilaksanakan. Perkara itu lambat lagi, kita tunggulah hingga 31 Julai depan. Kita berayalah dulu," katanya.

MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dengan PH ditandatangani pada 13 September tahun lalu.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kesepakatan untuk Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri pada PRU15 ialah antara beberapa perkara diputuskan pada Mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Ismail Sabri pada majlis pelancaran Coop Community Mart Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Putrajaya, hari ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Ismail Sabri pada majlis pelancaran Coop Community Mart Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Putrajaya, hari ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Berita Harian X