Jumaat, 15 April 2022 | 12:11pm
Anggota APMM menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa di perairan Pulau Tandoan, Timbun Mata, Semporna. - Foto ihsan APMM
Anggota APMM menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa di perairan Pulau Tandoan, Timbun Mata, Semporna. - Foto ihsan APMM

5 lemas, 2 hilang bot karam di perairan Pulau Tandoan

SEMPORNA: Lima lemas, manakala dua dilaporkan hilang apabila sebuah bot pam membawa 20 penumpang karam di perairan Pulau Tandoan, Timbun Mata, dekat sini, malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan, berkata 13 lagi penumpang bot terbabit berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung.

Beliau berkata, mangsa terkorban membabitkan dua wanita, dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berumur antara satu hingga 33 tahun.

Katanya, mangsa yang masih hilang pula dikenali sebagai Noranis, 14, dan Aiman, 6, kedua-duanya dari Kampung Sungai Nakit, dekat sini.

Beliau berkata, bot berkenaan dipercayai membawa beban lebih muatan ketika kejadian.

"Kesemua 20 mangsa terbabit dipercayai warga tempatan dan mereka dalam perjalanan dari Kampung Bakung Bakung menuju ke Kampung Tandoan.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hilang diaktifkan pada jam 11.45 malam tadi, dengan bot Banggi 11 digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan pencarian awal," katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, hari ini.

Norrimi berkata, operasi berkenaan membabitkan 11 anggota bersama dua aset bot APMM, selain lima anggota bomba berserta sebuah bot aluminium.

Beliau berkata, kawasan pencarian turut meliputi sepanjang Terusan Sigalong hingga Timbun Mata, dan Pangkalan Hadapan Carilamat APMM dibuka di Jeti Pelancongan Semporna.

Pulau Tandoan terletak kira-kira empat kilometer (km) dari Semporna, sebuah daerah di pantai timur Sabah yang terletak lebih 555 kilometer dari Kota Kinabalu. – BERNAMA

Berita Harian X