Jumaat, 15 April 2022 | 11:56am
Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin. - Foto Google
Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin. - Foto Google

BNM wajar luluskan lesen bank digital ANGKASA - CUEPACS

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu Bank Negara Malaysia (BNM) menimbang secara serius permohonan lesen bank digital oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin, berkata ini kerana ANGKASA adalah penyedia kepada perkhidmatan potongan gaji kepada penjawat awam yang kini berjumlah 1.6 juta individu.

Katanya, CUEPACS yakin dengan penerimaan lesen bank digital itu kerana lebih banyak produk dan perkhidmatan yang boleh ditawarkan oleh ANGKASA dan gerakan koperasi kepada penjawat awam terutamanya bagi kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

"Ketika ini terdapat lebih daripada 800,000 penjawat awam yang tergolong dalam kalangan B40.

"Lesen bank digital ini bakal membawa perubahan dan mencorakkan landskap perniagaan gerakan koperasi seiring dengan perkembangan dunia digital yang bergerak pantas.

"Pemerkasaan gerakan ini melalui bank digital sudah tentu akan memberi manfaat kepada majoriti penjawat awam yang juga anggota koperasi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, ANGKASA sudah membuat permohonan untuk mendapat lesen Bank Digital menerusi subsidiarinya, MyANGKASA Digital Services Sdn Bhd bersama dengan rakan strategik ANGKASA, Boustead Holdings Berhad yang juga anak syarikat kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada tahun lalu.

Katanya, CUEPACS juga menyambut baik usaha ANGKASA sebagaimana kenyataan Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah yang menyasarkan perkhidmatan dan produk bank digital itu akan memberi tumpuan kepada pelanggan dari golongan B40, koperasi dan juga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Inisiatif ini juga akan membantu kira-kira separuh daripada penjawat awam mendapatkan perkhidmatan dalam segmen kewangan.

"Justeru amat wajar ANGKASA diberikan lesen ini bagi membantu kepada peningkatan dan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif kepada segenap lapisan masyarakat," katanya.

Beliau berkata, CUEPACS akan terus bekerjasama dengan ANGKASA yang berperanan menyumbang kepada pembangunan gerakan koperasi di negara ini pada peringkat nasional dan global.

Katanya, begitu juga dengan inisiatif Projek Barang Asas 100 (BA100), CUEPACS akan terus membantu untuk menyelaras dan mengaktifkan semula koperasi di jabatan kerajaan yang akan membantu penjawat awam.

"Sebagai institusi yang berperanan menjaga dan melindungi kepentingan penjawat awam, pemerkasaan berterusan gerakan koperasi yang memberi impak positif kepada kesejahteraan sosiekonomi penjawat awam dan rakyat Malaysia harus diberikan sokongan penuh oleh semua pihak," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar menzahirkan sokongan penuh hasrat ANGKASA untuk memperoleh lesen bank digital daripada BNM seterusnya menawarkan produk perbankan secara digital kepada pelanggan.

Beliau dilaporkan berkata, pemberian lesen bank digital kepada ANGKASA dilihat mampu membawa semangat baharu dan membantu sektor koperasi negara terus berkembang.

Berita Harian X