Rabu, 13 April 2022 | 1:15pm
Pekerja pembersihan mengutip satu tan sampah setiap hari di log boom yang dipasang di Sungai Pinang yang terletak di Daerah Timur Laut Pulau Pinang, berikutan sikap orang ramai membuang sampah ke sungai pada 11 April lalu. - Foto fail NSTP
Pekerja pembersihan mengutip satu tan sampah setiap hari di log boom yang dipasang di Sungai Pinang yang terletak di Daerah Timur Laut Pulau Pinang, berikutan sikap orang ramai membuang sampah ke sungai pada 11 April lalu. - Foto fail NSTP

CAP cadang pasang CCTV atasi masalah pencemaran Sungai Pinang

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik sepanjang Sungai Pinang di sini, sebagai langkah bagi mengatasi masalah pembuangan sampah ke sungai berkenaan.

Cadangan itu berpotensi bagi menangkap pesalah termasuk merakam tindakan di pagar tebing sungai terutama yang terletak berhampiran kawasan perumahan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kerajaan negeri juga perlu mempertimbangkan untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling (EQA) 1974 bagi meningkatkan jumlah denda dan hukuman penjara.

Walaupun begitu, ia memerlukan usaha penguatkuasaan yang tulen bagi membawa mereka yang bertanggungjawab ke mahkamah serta mengenakan hukuman paling tegas.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyediakan kemudahan kepada orang ramai yang membuang barangan besar seperti tilam dan perabot.

"Membersihkan sungai daripada sampah bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi rakyat juga harus bertanggungjawab dalam hal berkenaan," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari berkata, sekurang-kurangnya satu tan sisa sampah dipungut di kawasan Sungai Pinang setiap hari.

Kata Zairil, usaha bagi memungut sampah dan membersihkan sungai sudah dijalankan kerajaan negeri sejak sekian lama, namun masalah itu masih berlarutan kerana berpunca daripada sikap masyarakat yang membuang sampah merata-rata termasuk ke sungai.

Mohideen berkata, antara contoh terbaik orang ramai yang berjaya menjaga harta awam ialah warga Taman Jajar Sungai Ara atau Linear Park di sini, yang berfungsi sebagai paru-paru hijau di kejiranan utama.

"Tidak mustahil ia mampu dicapai sekiranya ada usaha bersama antara orang ramai dan kerajaan negeri bagi mengatasi punca masalah itu," katanya.

Berita Harian X