Rabu, 13 April 2022 | 11:17am
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah. - FOTO BERNAMA
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah. - FOTO BERNAMA

KPPA tumpu pendigitalan perkhidmatan, integriti dan kolaborasi

PUTRAJAYA: Pendigitalan perkhidmatan, integriti, dan perubahan pemikiran kepada kolaborasi antara kementerian dengan agensi, menjadi fokus utama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Dilantik menyandang jawatan itu pada Februari lalu ketika Malaysia masih bergelut dengan pandemik COVID-19, Mohd Shafiq berdepan cabaran memastikan perkhidmatan awam berperanan penting sebagai ejen perubahan dalam pembangunan negara.

Beliau berkata, pihaknya melihat sentiasa ada perubahan dalam sistem penyampaian berikutan perubahan dalam ekosistem negara dari segi kependudukan, masyarakat semakin tua (ageing society), teknologi dan keperluan pemegang taruh.

Katanya, usaha pendigitalan perkhidmatan dilaksanakan melalui pendekatan pelan MyDIGITAL, termasuk mengurangkan kerenah birokrasi.

Melalui kolaborasi antara kementerian dengan agensi pula, beliau berkata, ia dapat memecahkan cara kerja bersendirian (silo) dan membolehkan sumber sedia ada dioptimumkan menerusi perkongsian.

"Kita juga meneliti untuk meningkatkan kecekapan organisasi dengan melihat proses kerja dan memastikan fungsinya tidak bertindih.

"Berikutan itu, kita sudah memohon semua kementerian untuk melihat semula fungsi bahagian dan agensi supaya dapat dirancakkan keberkesanan mutu penyampaian.

"Ketika pandemik COVID-19, kita dapat banyak belajar bagaimana krisis ini menyebabkan kerjasama lebih mantap kerana objektifnya ialah survival. Bawah MyDIGITAL, Malaysia berhasrat menjadi peneraju dalam ekonomi digital, selain mencapai pembangunan sosial ekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan," katanya pada sesi khas bersama media, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Zulkapli Mohamed, dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Zainal Azman Abu Seman.

Mohd Shafiq berkata, cara kerja bersendirian dilihat menyebabkan kerugian masa dan sumber sedia ada sedangkan kerjasama antara kementerian dengan agensi mampu menumpukan perkhidmatan yang lebih baik.

Beliau berkata, pihaknya melihat bagaimana perkongsian sumber di kawasan tertentu dapat memberi manfaat meluas kepada masyarakat.

Mengambil contoh perkongsian sumber antara Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Kementerian Pertahanan ketika negara berdepan gelombang COVID-19 sebelum ini, Mohd Shafiq berkata, kerjasama sedemikian boleh turut dilaksanakan di kementerian lain dalam bidang tertentu.

"Oleh itu, saya meminta panduan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) untuk melihat bagaimana untuk meningkatkan kerjasama (antara kementerian dengan agensi kerajaan) kerana jika sesuatu tugas dijalankan secara bersendirian, kos diperlukan akan menjadi lebih mahal.

"Kita meneliti isu dan bagaimana rakyat melihatnya serta memberi maklum balas. Justeru, dasar perlu bersifat inklusif serta menyeluruh," katanya.

Pada masa sama, Mohd Shafiq juga melihat pendigitalan perkhidmatan awam sebagai antara kaedah memerangi rasuah.

Katanya, ia berikutan penggunaan teknologi itu mampu mengurangkan interaksi antara pemberi dengan penerima perkhidmatan, sekali gus mengurangkan ruang serta peluang untuk berlaku masalah penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Beliau berkata, antara pendekatan boleh dilaksanakan ialah penyumberluaran (outsourcing) perkhidmatan dan penggunaan teknologi digital seperti kamera bagi mengesan kesalahan serta pengeluaran saman.

Namun, katanya, harus ada kefahaman rakyat mengenai ketelusan proses perkhidmatan kerajaan, selain pendidikan mencegah rasuah sebagai tanggungjawab bersama perlu diperhebatkan melalui masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selain itu, Mohd Shafiq berkata, amalan pusingan kerja yang dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut dilihat menyumbang kepada usaha mengurangkan elemen rasuah dalam perkhidmatan awam.

"Jika wujud masalah rasuah, ia akan merugikan negara. Dalam pencegahan rasuah, JPA melaksanakan pusingan kerja terhadap penjawat awam di jawatan strategik yang boleh mengundang penyalahgunaan kuasa.

"Berdasarkan statistik pusingan kerja yang dilaksanakan hingga 31 Disember lalu, 21 kementerian didapati menepati serta melebihi peratusan 50 peratus yang ditetapkan.

"Empat kementerian, iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Belia dan Sukan; serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi masih belum mencapai 50 peratus," katanya.

Justeru, Mohd Shafiq berkata, JPA sudah mengingatkan kementerian terbabit supaya terus melaksanakan pusingan kerja.

Beliau berkata, usaha mencegah rasuah melalui Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 juga masih berjalan.

Bagi membantu Malaysia membaiki reputasi dalam Indeks Persepsi Rasuah yang mewajibkan sektor awam membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi masing-masing, katanya, sebanyak 26 kementerian sudah mempunyai pelan sendiri, manakala satu lagi kementerian dalam tindakan berbuat demikian.

Berita Harian X