Selasa, 12 April 2022 | 8:10pm
Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.
Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Tiada istilah 'cold storage' dalam perkhidmatan awam - KPPA

PUTRAJAYA: Istilah dipetisejukkan (cold storage) tidak wujud dalam perkhidmatan awam, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Beliau berkata, penjawat awam dipanggil balik ke kementerian atau jabatan masing-masing dengan gaji penuh yang tidak dipotong selain dihantar berkursus sebelum diberikan penugasan baharu.

Katanya, istilah berkenaan wujud kerana interpretasi berbeza-beza oleh masyarakat dan ia perlu diperbetulkan.

"Penjawat awam dipanggil balik ke 'pool' ada kerana sementara menunggu penempatan baharu atau cuti belajar... ia bukan negatif.

"(Sebagai contoh) Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua Setiausaha berada dalam 'pool' sementara mereka menunggu penempatan baharu," katanya pada sesi perjumpaan khas bersama media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan KPPA (Pembangunan), Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Timbalan KPPA (Operasi), Datuk Zainal Azman Abu Seman.

Mohd Shafiq berkata, penjawat awam sentiasa bersedia untuk ditukarkan kerana ia adalah ikrar perkhidmatan awam, berkhidmat tanpa rasa takut atau berkepentingan.

Mengulas dua pegawai tinggi Wisma Putra yang dipanggil balik kerana kegagalan menguruskan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohd Shafiq berkata, ramai yang mendakwa kedua-dua pegawai berkenaan dipanggil balik ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dikenakan tindakan dipetisejukkan, namun ia sebenarnya tidak benar.

Sebaliknya, beliau berkata, pegawai terbabit kembali ke Wisma Putra dan diberikan kursus untuk kemahiran.

Katanya, urusan dan penempatan semula duta yang dipanggil balik untuk berkursus itu perkara biasa di Wisma Putra.

"Duta besar dan pesuruhjaya tinggi kita ditempatkan di luar negara bagi menjaga dan mempertahankan kepentingan negara di persada antarabangsa, memastikan kelangsungan dasar luar negara dapat diteruskan.

"Setakat ini ada 107 perwakilan di seluruh dunia," katanya.

Pada masa sama, Mohd Shafiq berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang berbincang dengan Kementerian Luar untuk membuat pengisian segera terhadap 29 kekosongan perjawatan yang masih belum diisi Ketua Perwakilan ketika ini.

Beliau berkata, ketika ini, kekosongan di 29 negara itu digalas oleh Kuasa Usaha Sementara.

Katanya, JPA sedang berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri M Shahrul Hisham Ikram Yaakob dan melihat apa faktor menyebabkan berlaku kelewatan.

"Sebelum ini sudah ada perbincangan untuk melaksanakan penjajaran semula jawatan di luar negara supaya dapat hasil pulangan pelaburan (ROI) yang baik.

"Esok kita ada mesyuarat untuk melihat pengisian dan garis panduan yang baik boleh disediakan supaya ia dapat dilaksanakan dengan cepat bagi memenuhi keperluan negara.

"Perlu ada garis panduan yang cepat," katanya.

Ditanya antara faktor yang menyebabkan berlaku kekosongan itu, Mohd Shafiq berkata, kebanyakan mereka sudah bersara selain dipengaruhi pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada pergerakan diplomat.

Berita Harian X