Selasa, 12 April 2022 | 4:12pm
 Anggota penguat kuasa KPDNHEP Johor Bahru mengeluarkan kompaun RM30,000 terhadap sebuah syarikat pengeluar ayam (peladang) di Skudai. - Foto ihsan KPDNHEP
Anggota penguat kuasa KPDNHEP Johor Bahru mengeluarkan kompaun RM30,000 terhadap sebuah syarikat pengeluar ayam (peladang) di Skudai. - Foto ihsan KPDNHEP

KPDNHEP Johor kompaun peladang ayam RM30,000

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengenakan kompaun RM30,000 terhadap sebuah syarikat pengeluar ayam (peladang) di Skudai, hari ini.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro, berkata tindakan itu diambil sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP Johor Bahru hasil siasatan lanjut terhadap rantaian pembekalan serta pengedaran jualan ayam di negeri ini.

Katanya, hasil siasatan bermula daripada tindakan rantaian pemeriksaan terhadap peruncit serta pemborong.

"KPDNHEP Johor turut mengambil tindakan terhadap 13 kes terhadap pemborong ayam di sekitar Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Kluang.

"Mereka dikenakan kompaun atas kesalahan yang sama di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu menjual melebihi harga kawalan yang telah ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, NSTP melaporkan harga ayam segar di bandar raya ini melonjak antara RM9.50 hingga RM10 sekilogram (kg) sekali gus dijual tidak mengikut harga siling RM8.90 yang ditetapkan kerajaan.

Dalam pada itu, Mohd Hairul Anuar berkata, KPDNHEP Johor melakukan 3,088 pemeriksaan membabitkan 3,032 pemeriksaan di peringkat peruncit dan 46 pemeriksaan di peringkat pemborong selain 10 pemeriksaan di peringkat peladang.

Katanya, pemeriksaan itu berdasarkan rekod daripada tempoh kuat kuasa Penentuan Harga Maksimum (PHM) bagi Ayam & Telur yang bermula sejak 5 Februari lalu.

"Sebanyak 94 kes telah dihasilkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dengan jumlah kompaun sebanyak RM 89,700.

"KPDNHEP Johor mengambil serius mengenai isu harga ayam dan ingin menasihatkan peniaga khususnya di Johor supaya mematuhi segala undang-undang perniagaan yang telah ditetapkan oleh kementerian dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya dalam tempoh ini.

"Tindakan tegas akan diambil sekiranya mendapati peniaga yang melakukan kesalahan berkaitan bekalan dan harga. Pengguna di negeri Johor boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga kepada kementerian," katanya.

Berita Harian X