Selasa, 12 April 2022 | 1:54pm
Suasana di dalam Dewan Rakyat pada Mesyuarat Khas Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen semalam. - foto BERNAMA
Suasana di dalam Dewan Rakyat pada Mesyuarat Khas Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen semalam. - foto BERNAMA

Istilah 'kesetiaan politik' ganti antilompat parti

KUALA LUMPUR: Istilah 'kesetiaan politik' boleh diperkenalkan dalam penggubalan undang-undang baru bagi menggantikan antilompat parti yang dilihat sukar diterima sesetengah pihak termasuk wakil rakyat.

Pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata ini kerana undang-undang baharu yang mahu diperkenal bagi melarang wakil rakyat keluar parti perlu mempunyai nama selari dengan konsep sebenar.

"Fokus yang perlu diberikan ialah soal kesetiaan kepada mandat rakyat dan kepada parti atau gabungan parti yang disertai ketika bertanding dalam pilihan raya.

"Lompat parti adalah istilah kurang baik dan menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi politik. Jadi wajar undang-undang yang diperkenalkan dikenali sebagai 'Undang-undang Kesetiaan Politik'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof
Pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof

Beliau mengulas banyak pandangan mengenai pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan serta penggubalan akta baru, seperti disuarakan Ahli Parlimen ketika Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022.

RUU pindaan itu semalam tidak melalui proses undian sebaliknya Ahli Parlimen sebulat suara menyerahkannya kepada Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen untuk memperhalusi cadangan pindaan Perkara 10.

Selain penelitian lebih mendalam mengenai bentuk pindaan Perkara 10, terutama perincian definisi 'lompat parti', jawatankuasa khas disertai 11 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang akan turut meneliti keperluan memansuhkan Perkara 48(6) serta pembentukan satu akta baru bagi melarang wakil rakyat bertukar parti.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr Wong Chin Huat, berkata terdapat dua cara boleh dipertimbang dalam pembentukan akta baru itu kelak iaitu dengan memberi kuasa kepada kepimpinan parti dalam menentukan pemecatan wakil rakyatnya.

"Kita bagi kuasa kepada pemimpin parti. Maksudnya, kalau pemimpin parti mahu pecat seseorang Ahli Parlimen itu, maka Ahli Parlimen itu juga hilang kerusi di dewan. Mengapa ini perlu? kalau tidak siapa yang ingin mengkhianati parti, akan tinggal sebagai musuh dalam selimut (dalam parti) sampai dipecat dan kemudian baru bebas.

"Ini satu cara antilompat yang tradisional di mana kita memberi banyak kuasa kepada kepimpinan parti yang kita tak dapat jamin ia tidak akan disalahgunakan," katanya.

Cara kedua kata beliau, pengenalan undang-undang antilompat parti secara pemecatan yang sebelum ini pernah dicadangkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said serta Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0).

"Kalau kita ambil undang-undang antilompat parti secara pemecatan, ia memerlukan undi untuk memecat dengan cara menandatangani. Maka perbezaannya adalah kuasa di tangan rakyat.

"Kalau kita guna cara kedua ini, kita boleh rangkumkan dalam pelbagai keadaan, supaya rakyat boleh kawal wakil rakyat tanpa menyebabkan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin parti. Wajar pertimbangkan kedua-dua cara ini," katanya.

Beliau juga berharap kerajaan membiarkan negeri-negeri untuk menentukan apakah bentuk antilompat parti yang mereka kehendaki dan tidak hanya terikat dengan keputusan Parlimen.

Berita Harian X