Isnin, 11 April 2022 | 11:48pm
Sulaiman (dua, kanan) melawat pameran M-WEZ selepas melancarkan Blueprint M-WEZ pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Bulan April 2022 di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
Sulaiman (dua, kanan) melawat pameran M-WEZ selepas melancarkan Blueprint M-WEZ pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Bulan April 2022 di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

M-WEZ Corp beroperasi secara rasmi Jumaat ini - Sulaiman

AYER KEROH: Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) yang ditubuhkan kerajaan negeri tahun lalu akan memulakan operasi secara rasmi bermula Jumaat ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata agensi kerajaan yang diluluskan penubuhannya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu akan berperanan sebagai sebuah badan khas yang mengawal serta menyelaras segala bentuk pembangunan, selain mempromosi kawasan M-WEZ.

Katanya, sebarang permohonan di kawasan pentadbirannya atau berkaitan pembangunan akan dikawal selia Perbadanan M-WEZ atau akan dikenali sebagai M-WEZ Corporation.

"Ini bagi membolehkan semua proses berjalan lancar, sekali gus mempercepat dan meningkatkan segala pembangunan yang dirancang seperti terkandung dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035.

"Setakat ini, M-WEZ mempunyai 15 kakitangan dengan pejabat pengoperasiannya di Blok Laksamana, Seri Negeri, dan menerusi penubuhan agensi itu, pelbagai perancangan strategik dan usaha bagi mempromosikan M-WEZ dapat dilakukan dengan baik secara bersama dengan semua pemegang taruh," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri perhimpunan bulanan pentadbiran kerajaan negeri dan Pelancaran Blueprint M-WEZ, di Seri Negeri hari ini.

Majlis pelancaran itu diadakan genap setahun Sulaiman melancarkan M-WEZ, yang disifatkan sebagai 'game changer' dan 'economic enabler' bagi Melaka.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan Ketua Pegawai Eksekutif M-WEZ Corporation, Mohd Yusof Abu Bakar.

Sementara itu, Sulaiman berkata, laporan Blueprint M-WEZ akan diguna pakai di peringkat pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan serta agensi kerajaan berkaitan sebagai rujukan utama pembangunan projek baharu.

Katanya, penyediaan blueprint itu adalah kerangka hala tuju strategik dalam menarik pelaburan dan pembangunan masa depan yang merangkumi strategi pembangunan ekonomi, fizikal dan sosial selaras dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 di bawah Flagship 1: Pembangunan Ekonomi-Melaka.

"Pembangunan M-WEZ menyasarkan lima peratus kenaikan pada kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), justeru dalam persaingan pembangunan di dunia, Melaka perlu menggunakan strategi baharu untuk memacu pembangunan ekonomi dan mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu yang lebih inklusif dan lestari," katanya.

Blueprint itu memperincikan pembangunan koridor ekonomi laut berimpak tinggi di kawasan persisiran pantai di Melaka dan akan menjadi rujukan segala perancangan di kawasan seluas 10,117 hektar, bermula dari Pantai Puteri sehingga Umbai membabitkan sepanjang 33 kilometer pesisir pantai.

Sejak dilancarkan April tahun lalu, M-WEZ menerima banyak cadangan daripada pelabur dalam dan luar negara untuk menanam modal menerusi pelbagai projek di kawasan terbabit.

Menerusi M-WEZ, kerajaan negeri menyasarkan pelaburan berimpak tinggi bernilai RM100 bilion yang seterusnya akan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK negeri sebanyak lima peratus atau RM2 bilion setahun.

Sebanyak 10,000 peluang pekerjaan baharu dijangka akan diwujudkan, sekali gus dapat meningkatkan pendapatan rakyat setempat serta menurunkan kadar pengangguran negeri.

Berita Harian X