Isnin, 11 April 2022 | 8:30am
Peratusan jangkitan COVID-19 secara sporadik di Sabah mengalami penurunan di bawah 50 peratus, semalam. - Foto hiasan NSTP
Peratusan jangkitan COVID-19 secara sporadik di Sabah mengalami penurunan di bawah 50 peratus, semalam. - Foto hiasan NSTP

Jangkitan sporadik di Sabah menurun bawah 50 peratus

KOTA KINABALU: Peratusan jangkitan COVID-19 secara sporadik di Sabah mengalami penurunan di bawah 50 peratus, semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata peratusan jangkitan sporadik menurun kepada sekitar 48 peratus sahaja berbanding 64 peratus Sabtu lepas.

"Selain itu, secara keseluruhan, kedudukan kes jangkitan COVID-19 di semua daerah di Sabah masih dianggap stabil walaupun terdapat pertambahan 18 kes semalam.

"Jumlah daerah mencatat pertambahan dan daerah yang merekodkan penurunan juga seimbang," katanya.

Masidi berkata, empat daerah mencatatkan kes COVID-19 dua angka, semalam iaitu Kota Kinabalu (33); Penampang (18); Tuaran (14) dan Papar (11) kes.

Sementara itu, katanya sebanyak 16 daerah mencatatkan kes satu angka iaitu Beaufort (8); Putatan (8); Tenom (5); Kuala Penyu (5); Sipitang (4); Sandakan (3); Kudat (3); Kota Belud (3); Ranau (2).

Daerah Keningau, Kota Marudu, Tawau, Tambunan, Pitas, Lahad Datu dan Kinabatangan pula masing-masing mencatatkan satu kes sahaja.

"Tidak ada catatan jangkitan baharu di tujuh daerah membabitkan Kunak, Telupid, Semporna, Nabawan, Tongod, Kalabakan dan Beluran," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Masidi berkata, jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases
https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 124 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 369,184 kes dan tiada kes kematian dilaporkan.

"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 210 menjadikan jumlah kumulatif 354,079 orang.

"254 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 246 orang di hospital, lapan orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC)," katanya.

Berita Harian X