Ahad, 10 April 2022 | 3:54pm
Penduduk bergotong-royong memasak bubur lambuk di Masjid Kampung Pulau Timbul. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Penduduk bergotong-royong memasak bubur lambuk di Masjid Kampung Pulau Timbul. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Abdul Razak (kiri) membungkus air halia untuk diagihkan kepada penduduk. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Abdul Razak (kiri) membungkus air halia untuk diagihkan kepada penduduk. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Air halia, bubur lambuk resipi 200 tahun jadi rebutan

KUBANG PASU: Keistimewaan resipi berusia 200 tahun dalam penyediaan air halia dan bubur lambuk di Masjid Kampung Pulau Timbul, di sini, menyebabkan juadah warisan itu terus menjadi rebutan ramai pada Ramadan ini.

Malah, ia dianggap mempunyai tarikan tersendiri kerana dimasak menggunakan kawah dan periuk tembaga yang dikatakan dibawa pedagang India ke kampung itu kira-kira dua abad lalu.

Bagaimanapun selari peredaran zaman, kayu api tidak lagi digunakan dalam penyediaan dua juadah itu, sebaliknya ditukar kepada dapur gas demi menjaga kebersihan persekitaran masjid.

Setiausaha Masjid Kampung Pulau Timbul, Abdul Razak Omar, 68, berkata ketika kayu api masih digunakan untuk memasak sebelum ini, pihaknya berdepan masalah asap tebal memasuki ruang solat dan menyebabkan tapak kaki jemaah menjadi hitam.

"Justeru pada tahun lalu, kita membuat keputusan untuk mula memasak bubur lambuk dan air halia menggunakan dapur gas bagi mengelak jelaga melekat di ruang solat masjid ini.

"Namun, resipi yang digunakan tetap sama seperti dahulu. Kanji (bubur lambuk) kita masak hampir dua jam dan perlu dikacau setiap masa agar tidak melekat atau hangit bagi mengekalkan rasa aslinya," katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Pulau Timbul.

Abdul Razak yang juga tukang masak kedua-dua hidangan itu memaklumkan sebaik saja selesai menunaikan solat zohor, pihaknya akan terus menyediakan bahan masakan bubur lambuk membabitkan 10 kilogram (kg) beras yang boleh menjamu antara 300 hingga 400 orang.

"Kita tidak ada masalah kos menyediakan air halia dan bubur kanji (bubur lambuk) ini kerana ada penyumbang khas.

"Semua kerja terbabit dilakukan secara gotong-royong, termasuk ada yang bertugas membungkus makanan, namun kita masih menggalakkan orang ramai membawa bekas sendiri.

"Selepas selesai, kita akan membasuh semua kawah dan periuk tembaga bagi memastikan perkakas berkenaan dijaga rapi. Resipi dua hidangan ini akan diturunkan kepada generasi seterusnya," katanya.

Sementara itu penduduk, Zubaidi Fadzil, 53, berkata setiap kali Ramadan, hidangan air halia dan bubur lambuk sentiasa dinantikan ahli keluarganya.

"Rasanya memang tiada tandingan. Anak juga sangat menyukai rasa bubur lambuk ini. Lebih menarik, ia turut mengeratkan silaturahim penduduk apabila keluar beramai-ramai ke masjid untuk mengambilnya.

"Malah anak-anak yang merantau, turut mencari hidangan ini apabila pulang ke kampung," katanya.

Berita Harian X