Ahad, 10 April 2022 | 3:31pm

'Tahun depan 30 balang'

KUALA TERENGGANU: Melihatkan sambutan orang ramai terhadap pelbagai perisa air jualannya, Muhammad Fahmi Sulaiman, 26, peniaga di bazar Ramadan, Chabang Tiga di sini menyasarkan menambah kepada 30 perisa tahun depan daripada 27 sekarang.

"Tahun lalu saya menggunakan 20 balang manakala tahun ini saya tambah tujuh lagi balang. Tahun hadapan saya berhajat untuk menjadikan bilangan balang air melebihi 30," katanya yang memperuntukkan 100 beg air batu selain perlu menyewa empat tapak bazar bagi memuatkan 27 balang air yang digunakan untuk berniaga.

Katanya, bagi memudahkan pelanggan dia menjual 27 jenis air dengan harga RM5 bagi dua plastik. Sekiranya cuaca elok sepanjang hari dia mampu meraih jualan hingga RM3,500 sehari.

"Idea menjual air dengan pelbagai jenis bermula sejak 2014 ketika berniaga di kawasan lagun Kuala Ibai. Pilihan air yang banyak memudahkan pelanggan," katanya sambil menambah antara air yang paling popular adalah soda pudina, coklat dan mangga.

Seorang pelanggan yang ditemui, Rosmawati Alias, 30, berkata dia teruja melihat begitu banyak perisa air yang dijual peniaga berkenaan.

"Pelbagai perisa air boleh diperoleh dan harganya juga berpatutan," katanya.

 Muhammad Fahmi (kiri) menjual 27 perisa air dalam 27 balang ketika ditemui di bazar Ramadan, Chabang Tiga. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Muhammad Fahmi (kiri) menjual 27 perisa air dalam 27 balang ketika ditemui di bazar Ramadan, Chabang Tiga. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X