Ahad, 10 April 2022 | 12:06am
Siti Bainun didakwa atas pertuduhan pengabaian terhadap kanak-kanak. - Foto hiasan NSTP/ASWADI ALIAS
Siti Bainun didakwa atas pertuduhan pengabaian terhadap kanak-kanak. - Foto hiasan NSTP/ASWADI ALIAS

Ras Adiba tak boleh komen kes mahkamah

KUALA LUMPUR: Senator Datuk Ras Adiba Radzi hari ini berkata, beliau tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes mahkamah membabitkan seorang remaja Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.

Ras Adiba, yang mewakili komuniti orang kurang upaya (OKU) di Dewan Negara, berkata beliau mengikuti kes itu secara dekat walaupun secara peribadinya tidak dapat hadir ke perbicaraan kerana prosedur operasi standard COVID-19 ketika ini, mengehadkan kehadiran pihak tidak berkaitan.

"Bagaimanapun, memandangkan kes ini sedang berjalan, saya menerima nasihat dari segi perundangan, saya tidak seharusnya membuat sebarang kenyataan berkaitan kes itu kerana ia mungkin boleh mengganggu proses undang-undang.

"Saya mendapati tidak adil apabila kenyataan yang dibuat seorang individu yang mengatakan beliau berjuang untuk Bella, terutama apabila mendakwa saya tidak mengambil peduli atau saya tidak hadir ke mahkamah semasa perbicaraan kes Bella sedang dijalankan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Presiden OKU Sentral itu juga berkata, beliau sedia membantu sesiapa saja dalam komuniti OKU dan berkhidmat, demi kepentingan mereka serta menjelaskan isu yang akan menambah baik hak-hak golongan itu.

Ras Adiba, yang juga Pengerusi BERNAMA, turut menafikan dakwaan seorang individu agensi berita nasional itu mengawal media dan kes Bella tidak dilaporkan oleh media lain.

"Kami melaporkan berita sebaik yang boleh. Tetapi, kami tidak ada kawalan ke atas media-media yang lain. Ini masa yang sukar untuk semua yang terlibat, dan kebimbangan saya tentu sekali bagaimana untuk melindungi anggota masyarakat OKU kita.

"Imej-Imej yang kita lihat bagaimana Bella diperlaku amat menyedihkan dan seperti semua dan komuniti OKU juga, mahukan jawapan dan keadilan harus ditegakkan. Bella seorang kanak-kanak yang istimewa, beliau perlu dilindungi. Kita perlu memastikan kes seperti ini tidak lagi berlaku di negara kita," katanya.

Ras Adiba berkata, beliau percaya kepada proses undang-undang Malaysia dan selagi kes ini masih dibicarakan, beliau tidak akan membuat komen secara spesifik berkaitan kes itu.

Beliau turut berterima kasih kepada Persatuan Sindrom Down yang menyuarakan pandangan mereka berkaitan isu ini, aktivis, sukarelawan, agensi kerajaan dan petugas media yang dan akan terus melaporkan kes itu.

"Sebagai Senator untuk golongan OKU, pintu saya sentiasa terbuka dan saya mempelawa semua pihak berkepentingan untuk bertemu, supaya saya dapat memantau perkembangan semasa.

"Marilah kita sama-sama berdoa untuk yang terbaik, dan berdoa demi keadilan dan kebenaran untuk Bella," katanya.

Kes Bella tular di media sosial tahun lalu, selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.

Susulan itu, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan. – BERNAMA

Ras Adiba
Ras Adiba

Berita Harian X