Sabtu, 9 April 2022 | 1:45pm
Gambar fail, Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mah Hang Soon. - Foto L. Manimaran
Gambar fail, Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mah Hang Soon. - Foto L. Manimaran

KPM tunggu laporan Lembaga Peperiksaan isu soalan SPM

IPOH: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menunggu laporan terperinci daripada Lembaga Peperiksaan berhubung penggunaan set soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang sama bagi peperiksaan sesi kedua, yang bermula Khamis lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata sebarang keputusan mengenai sama ada murid perlu menduduki semula peperiksaan itu akan dibuat selepas kementerian menyemak laporan itu.

"Saya baru dimaklumkan mengenai perkara itu. Apa pun, saya rasa kita perlu menyemak dengan teliti laporan yang akan disediakan Lembaga Peperiksaan.

"Kami akan mengadakan perbincangan selepas itu, mengenai apakah tindakan yang akan diambil (jika pelajar perlu menduduki semula peperiksaan)," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan dengan ahli Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di pejabatnya di sini, hari ini.

Calon SPM yang tidak dapat menduduki peperiksaan itu sebelum ini akibat COVID-19 dan kejadian banjir baru-baru ini, akan menduduki peperiksaan itu pada sesi kedua, April dan Mei ini.

Sesi kedua peperiksaan yang dijalankan antara 5 April dan 19 Mei adalah bagi mereka yang tidak dapat menduduki peperiksaan antara 8 Februari dan 29 Mac lalu kerana didapati positif COVID-19, berada di bawah perintah kuarantin, terjejas akibat banjir dan kes khas yang diluluskan Pengarah Peperiksaan.

Semalam, dilaporkan peperiksaan Bahasa Melayu (Mendengar) pada Khamis lalu, yang membawa markah bagi keseluruhan mata pelajaran Bahasa Melayu, mengejutkan banyak pihak kerana ia sama seperti peperiksaan bagi sesi pertama SPM yang sudah pun dikongsi secara meluas.

Ramai yang menggunakan media sosial mengkritik KPM kerana 'mengitar semula' keseluruhan kertas ujian dalam peperiksaan awam yang paling penting di negara ini.

Berita Harian X