Sabtu, 9 April 2022 | 7:56am
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Datuk Chin Kim Hiung.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Datuk Chin Kim Hiung.

Tambang bas ekspres di Sabah naik 10 peratus sempena Aidilfitri

KOTA KINABALU: Syarikat bas ekspres di Sabah dibenarkan menaikkan 10 peratus tambang bagi perjalanan sepanjang musim perayaan Aidilfitri bermula 29 April ini hingga 8 Mei depan.

Kenaikan tambang kepada 14.3 sen bagi setiap kilometer (km) berbanding kadar biasa 13 sen per km itu diputuskan pada mesyuarat Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, semalam.

Pengerusinya, Datuk Chin Kim Hiung, berkata LPKP turut membenarkan syarikat bas ekspres untuk menambah bas bagi menampung permintaan penumpang sejajar kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dengan memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS) Sempena Perayaan Aidilfitri 2022.

"Tarikh permohonan LPS akan dibuka bermula 11 hingga 22 April ini dan borang boleh didapati di Ibu Pejabat LPKP Sabah di Kota Kinabau, LPKP Sabah Cawangan Tawau dan LPKP Sabah Cawangan Sandakan manakala tempoh sah laku LPS yang diluluskan ialah dari 29 April 2022 hingga 8 Mei 2022.

"Saya percaya keputusan ini akan mendapat pelbagai maklum balas daripada pihak yang terkesan. Namun demikian saya percaya keputusan ini adalah keputusan menang-menang bagi memastikan kebajikan semua pihak terjaga selaras dengan konsep Keluarga Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau turut mengingatkan semua pihak yang terbabit dalam perkhidmatan bas ekspres agar terus menjaga dan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Perkhidmatan bas ekspres di Sabah kebanyakannya beroperasi di antara ibu negeri dengan bandar atau pekan utama di pantai timur, utara, pedalaman dan selatan negeri ini, selain antara daerah di seluruh negeri.

Berikutan peningkatan 10 peratus itu, tambang dari Kota Kinabalu ke Semporna dinaikkan kepada RM80.80 seorang berbanding kadar biasa RM73.50 dengan jarak 565km, menjadikannya kadar tertinggi bagi perjalanan menghubungkan ibu negeri.

Ia diikuti tambang Kota Kinabalu - Tawau yang naik kepada RM79.40 berbanding kadar biasa RM72.20, manakala tambang Kota Kinabalu - Sandakan naik kepada RM47.90 berbanding kadar biasa RM43.60.

Destinasi selebihnya iaitu Kota Kinabalu - Lahad Datu (RM57.80), Kota Kinabalu - Kunak (RM67.50), Kota Kinabalu - Kudat (RM27.20), Kota Kinabalu - Tenom (RM24.70), Kota Kinabalu - Menumbok (RM22.20), Kota Kinabalu - Sipitang (RM20.60), Kota Kinabalu - Keningau (RM18.70) dan Kota Kinabalu - Beaufort (RM13.90).

Selain itu, perkhidmatan bas ekspres Tawau - Sipitang mencatat kadar tertinggi bagi perjalanan antara daerah iaitu RM99.40 seorang berbanding kadar biasa RM90.40 membabitkan jarak 695km diikuti Tawau - Kudat yang naik kepada RM96.20 berbanding kadar biasa RM87.50 dengan jarak 673km.

Berita Harian X