Jumaat, 8 April 2022 | 6:09pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Tilawah Al-Quran DMDI secara maya, tawar hadiah RM33,800

Melaka: Majlis Tilawah Al-Quran Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Ke-12 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM33,800, akan berlangsung secara dalam talian pada 12 dan 13 April ini di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal majlis itu, Datuk Che Sukri Che Mat, berkata acara berkenaan akan dijayakan 52 peserta dari lapan negara, iaitu Malaysia, Afrika Selatan, Thailand, Singapura, Indonesia, Kemboja, Mauritius dan Australia.

Beliau berkata, peserta Malaysia membabitkan qari dan qariah dari Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Selangor, Kedah serta Terengganu.

"Semua peserta perlu menjalani saringan pada 12 April ini, manakala pertandingan akhir dan majlis penyampaian hadiah akan berlangsung pada 13 April.

"Majlis tilawah itu akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian. Sembilan juri akan mengadili bacaan dan penyampaian qari serta qariah terbabit," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Che Sukri berkata, majlis anjuran bersama DMDI, Jabatan Agama Islam Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka itu menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 bagi johan, naib johan (RM3,000) dan tempat ketiga (RM2,000) bagi setiap kategori qari serta qariah, selain sagu hati RM300.

Beliau memaklumkan, penyampaian hadiah akan turut dijalankan secara dalam talian yang disiarkan menerusi platform Facebook DMDI.

Katanya, ia adalah kali kedua acara berkenaan diadakan secara dalam talian bagi mencegah penularan COVID-19. – BERNAMA

Berita Harian X