Jumaat, 8 April 2022 | 2:23pm

Pemborong, peruncit ayam dikompaun - KPDNHEP Terengganu

KUALA TERENGGANU: Seorang pemborong dan 17 penjual ayam dikenakan kompaun RM6,600 atas kesalahan menjual ayam melebihi harga siling ditetapkan kerajaan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Saharuddin Mohd Kia, berkata pemborong dan penjual ayam dikenakan tindakan berkenaan dalam Ops Pantau 2022 yang diadakan bermula Sabtu hingga semalam.

Beliau berkata, pihaknya melakukan 1,935 pemeriksaan ke atas pemborong dan penjual ayam di seluruh negeri dalam tempoh lima hari bermula Sabtu lalu.

"Hasil pemeriksaan, kita mengesan satu kes kesalahan membabitkan pemborong dan 17 lagi penjual ayam," katanya selepas melakukan pemeriksaan dan tinjauan harga makanan di bazar Ramadan Batu Burok, di sini, semalam.

Saharuddin turut menafikan dakwaan penjual ayam segar yang menuduh tindakan hanya dikenakan kepada peniaga dan bukannya kepada pemborong.

"Jumlah keseluruhan pemborong ayam berlesen di seluruh negeri ini hanya enam syarikat dan Terengganu tidak mempunyai peladang ternakan ayam.

"Kita akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri menerusi Ops Pantau 2022," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saharuddin berkata, ketika pemeriksaan dilakukan di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sejak 5 Februari lalu, seorang pemborong dan 41 peniaga dikenakan kompaun RM96,100 atas kesalahan menaikkan harga barangan.

Saharuddin (tengah) melakukan pemeriksaan dan meninjau harga makanan dalam Ops Pantau di Bazar Ramadan Batu Burok. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Saharuddin (tengah) melakukan pemeriksaan dan meninjau harga makanan dalam Ops Pantau di Bazar Ramadan Batu Burok. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X