Jumaat, 8 April 2022 | 1:55pm
Pemborong ayam dikompaun anggota KPDNHEP Perlis kerana menjual ayam melebihi harga siling kepada peruncit ayam. - Foto ihsan KPDNHEP Perlis
Pemborong ayam dikompaun anggota KPDNHEP Perlis kerana menjual ayam melebihi harga siling kepada peruncit ayam. - Foto ihsan KPDNHEP Perlis

Empat pemborong ayam dikompaun

KANGAR: Empat pemborong ayam dikompaun kerana menjual barangan melebihi harga borong maksimum yang ditetapkan mengikut Penentuan Harga Maksimum (PHM) Ayam dan Telur Ayam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis, Norazah Jaapar, berkata, kompaun dikeluarkan oleh anggotanya selepas melakukan pemeriksaan ke atas tiga premis syarikat pemborong ayam di Kuala Perlis, Bukit Pinang dan Simpang Empat di Kedah, semalam.

"Kerajaan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada harga RM8.90 sekilogram dan harga siling borong ayam standard pada harga RM7.60 menerusi PHM Ayam dan Telur Ayam, yang berkuat kuasa selama 121 hari bermula 5 Februari lalu hingga 5 Jun depan.

"Hasil pemeriksaan, empat tindakan dilaksanakan, yang mana tiga daripadanya adalah tindakan kes mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kerana menjual melebihi harga borong maksimum mengikut PHM yang sedang berkuat kuasa.

"Satu lagi tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana tidak memperbaharui lesen berniaga dalam jual borong ayam terhadap syarikat pemborong ayam di tiga lokasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Norazah berkata, pemeriksaan itu dilakukan lanjutan daripada pemeriksaan harian yang dijalankan terhadap peruncit ayam di sekitar Perlis.

"Pemborong terbabit didapati menjual ayam standard pada harga RM8.10 sekilogram kepada peruncit ayam melebihi harga siling borong PHM Ayam iaitu RM7.60 sekilogram seperti diwartakan pada waktu ini.

"Pemborong berkenaan diberikan kompaun sebanyak RM7,000 mengikut kesalahan AKHAP 2011 dan siasatan lanjut sedang dijalankan, yang membolehkan mereka dikenakan tindakan lebih berat.

"Individu yang didapati menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau kompaun sehingga RM50,000.

"Selain itu, bagi kesalahan membabitkan syarikat pula, boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000," katanya.

Norazah berkata, sepanjang pelaksanaan PHM, sebanyak 1,575 pemeriksaan dilakukan ke atas peruncit serta pemborong ayam dan 25 tindakan sudah diambil dengan nilai kutipan kompaun berjumlah RM12,600.00

Berita Harian X