X
Jumaat, 8 April 2022 | 11:47am

Kuih RM1 ringan beban pengguna

KUALA TERENGGANU: "Ramai pelanggan bertanya seolah-olah tidak percaya saya menjual kuih-muih pada harga RM1," kata Wan Su Wan Awang, 65, ketika ditemui di kedainya di Kampung Kuala Ibai, di sini, hari ini.

Katanya, dia mula menjual kuih RM1 sejak dua tahun lalu dan menerima sambutan menggalakkan kerana dengan harga yang murah, pengguna boleh membeli pelbagai jenis kuih untuk dinikmati.

"Pada hari biasa saya menjual kuih pada waktu pagi dan bulan Ramadan perniagaan bermula jam 3 petang hingga 7 malam. Terdapat kira-kira 50 jenis kuih dihantar oleh pembuat kuih di sekitar kawasan ini untuk dijual.

"Kuantiti kuih berpatutan dengan harga. Sebagai contoh jika pembeli berbelanja RM5 mereka sudah memperoleh lima jenis kuih tanpa mengeluarkan belanja yang banyak.

"Dengan harga yang murah, ia sedikit mengurangkan beban pengguna terutama yang mempunyai anak yang ramai," katanya.

Wan Su berkata, walaupun keuntungan yang diperoleh sedikit, namun atas rasa tanggungjawab dia bersama pengusaha kuih menyediakan juadah pada harga yang murah dan berpatutan.

"Selain 95 peratus kuih yang dijual berharga RM1, ada juga pengusaha yang menghantar kuih pada harga lebih RM1, namun jumlahnya tidak begitu banyak.

"Sambutan terhadap kuih RM1 amat menggalakkan dan bagi yang pertama kali datang tentu teruja melihat kuih dengan harga seperti ini. Walaupun berlakunya kenaikan pelbagai harga barangan termasuk plastik pembungkusan makanan, namun pengusaha yang menghantar kuih untuk dijual tetap mengekalkan bungkusan yang elok dan tidak terdedah.

"Selagi ada rakan pengusaha yang sudi menyediakan kuih pada harga RM1, saya akan terus menjualnya bagi meringankan beban pengguna," katanya.

Wan Juliza Wan Su, 34, menyusun kuih yang dijual RM1 di kedainya di Kampung Kuala Ibai. - NSTP/Nazdy Harun
Wan Juliza Wan Su, 34, menyusun kuih yang dijual RM1 di kedainya di Kampung Kuala Ibai. - NSTP/Nazdy Harun
Berita Harian X