Jumaat, 8 April 2022 | 8:53am
Gambar hiasan. Foto fail NSTP
Gambar hiasan. Foto fail NSTP

Nilai Rt kebangsaan bawah 1.00

PUTRAJAYA: Nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) negara masih berada bawah 1.00 selepas seminggu negara memasuki Fasa Peralihan Endemik dan pembukaan semula sempadan negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan di Facebook, berkata setakat semalam, Rt kebangsaan adalah 0.83.

Mengikut pecahan negeri, Selangor mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 0.96.

Ia disusuli Negeri Sembilan dengan 0.84; Putrajaya (0.82); Melaka (0.80) dan nilai Rt 0.79 masing-masing di Perak dan Terengganu.

Johor pula mencatatkan nilai Rt 0.78; masing-masing 0.75 di Kuala Lumpur dan Labuan manakala Sarawak (0.74); Pahang (0.73); Pulau pinang (0.71); Sabah (0.70); Kedah (0.67); Perlis (0.66) dan Kelantan (0.65).

Bermula 1 April lalu, negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik dengan menyaksikan pembukaan semula sempadan negara, selepas dua tahun memerangi pandemik COVID-19.

Rakyat kembali kepada gaya hidup normal mereka, walaupun dalam norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka.

Dengan peralihan kepada endemik, sekatan yang dikenakan untuk mengekang penularan COVID-19 sebelum ini turut dilonggarkan, membuka jalan kepada penganjuran kebanyakan aktiviti termasuk solat berjemaah yang dijalankan seperti biasa.

Berita Harian X