Rabu, 6 April 2022 | 12:11pm
Pengembara yang memasuki Singapura hanya perlu menghantar permohonan Kad Ketibaan Singapura secara dalam talian, sebelum rekod vaksinasi mereka akan disahkan Kementerian Kesihatan Singapura menerusi sistem mereka. - Foto fail NSTP
Pengembara yang memasuki Singapura hanya perlu menghantar permohonan Kad Ketibaan Singapura secara dalam talian, sebelum rekod vaksinasi mereka akan disahkan Kementerian Kesihatan Singapura menerusi sistem mereka. - Foto fail NSTP

Tidak perlu tunjuk salinan fizikal sijil vaksinasi COVID-19

JOHOR BAHRU: Pengembara serta individu yang memasuki Singapura menerusi pusat pemeriksaan darat dari Malaysia, tidak perlu menunjukkan salinan fizikal sijil vaksinasi COVID-19.

Sebaliknya, pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura, berkata pengembara hanya perlu menghantar permohonan Kad Ketibaan Singapura (SG Arrival Card) secara dalam talian, sebelum rekod vaksinasi mereka akan disahkan Kementerian Kesihatan Singapura menerusi sistem mereka.

Memetik laporan portal berita Channel News Asia (CNA) semalam, ICA berkata penjelasan itu dibuat berikutan mesej WhatsApp tular yang tersebar mengenai pengalaman pengembara yang melalui salah satu daripada pusat pemeriksaan laluan darat.

Mesej itu antara lain mendakwa, pengembara yang mahu memasuki Singapura perlu menunjukkan salinan fizikal rekod vaksinasi, memo pemulihan COVID-19 atau salinan rekod digital SG Arrival Card.

Mesej itu mendakwa, sijil vaksinasi fizikal diperlukan kerana sistem ICA dan Kementerian Kesihatan tidak terhubung dan pengembara tidak boleh menganggap bahawa ICA mempunyai akses kepada rekod vaksinasi mereka.

Mesej itu turut mendakwa, rekod digital SG Arrival Card diperlukan kerana sistem ICA tidak dapat mengesan penyerahan yang dilakukan pengembara secara dalam talian.

Semalam, ICA dilaporkan menegaskan, warga Singapura yang kembali ke republik itu, pemastautin tetap dan pemegang pas jangka panjang yang divaksinasi di Singapura tidak perlu menunjukkan salinan fizikal sijil vaksinasi.

Dalam pada itu, pemastautin dan pelawat asing yang divaksinasi di luar Singapura dan berjaya memuat naik sijil vaksinasi digital semasa menghantar SG Arrival Card, juga tidak diperlukan membawa salinan fizikal sijil vaksinasi untuk ditunjuk kepada pegawai ICA di pusat pemeriksaam darat.

Menerusi rangka kerja VTL sebelum ini, pengembara yang sudah divaksin serta mereka yang telah pulih dari COVID-19 juga tidak perlu menunjukkan memo pemulihan apabila memasuki Singapura melalui jalan darat.

Mulai jam 11.59 malam pada 31 Mac lalu, semua pengembara yang telah divaksin sepenuhnya, serta kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, dilaporkan boleh memasuki Singapura dengan hanya ujian awal COVID-19.

Pelancong juga dilaporkan tidak perlu lagi memohon kelulusan kemasukan atau menaiki pengangkutan VTL yang ditetapkan untuk memasuki Singapura tanpa kuarantin, malah tiada lagi kuota pada bilangan ketibaan harian ke republik itu.

Berita Harian X