Selasa, 5 April 2022 | 4:07pm
- Foto hiasan.
- Foto hiasan.

Peniaga naikkan harga ayam, dakwa pemborong caj 30 sen

ALOR SETAR: Peniaga ayam di beberapa pasar di negeri ini terpaksa menjual ayam melepasi harga siling RM8.90 kerana perlu menanggung caj perkhidmatan pengangkutan 30 sen yang didakwa dikenakan oleh pemborong, bermula Ahad lalu.

Peniaga ayam di Pasar Besar Alor Setar, Wan Ahmad Fauzi Wan Ismail, 51, berkata dia terpaksa menjual ayam pada harga RM9.30 sekilogram pemborong juga menaikkan harga.

"Pemborong mendakwa terpaksa naikkan harga kerana caj perkhidmatan pengangkutan. Kami sebagai peniaga hairan kenapa tiba-tiba ada caj perkhidmatan pada Ramadan kali ini.

"Ketika Ramadan tahun lalu, harga ayam stabil, tetapi apabila peralihan fasa ke endemik, harga naik pula. Sebelum ini pun pemborong hantar ayam, tetapi tiada caj perkhidmatan. Sekarang ada pula caj, jadi mahu tak mahu saya terpaksa jual pada harga RM9.30 kerana tidak mampu tampung modal," katanya ketika ditemui hari ini.

Peniaga ayam di Pasar Pendang, Mat Saat Nayan, 54, berkata dia turut menerima alasan yang sama daripada pemborong dan mengganggap ia tidak masuk akal.

Katanya, dia kini memperoleh ayam daripada pemborong pada harga RM8.50 sekilogram, iaitu kenaikan sebanyak 30 sen.

"Contoh, hari ini saya beli daripada pemborong 100 kilogram (kg) ayam, selepas dilayur api, beratnya akan susut menjadi 96kg. Saya terpaksa tampung kos gas dan plastik lagi yang turut naik harga.

"Jadi saya jual ayam kepada pelanggan RM9.50 sekilogram, itu pun untung saya hanya sedikit, gaji pekerja juga saya perlu bayar," katanya yang mula berniaga ayam sejak 1980-an.

Mat Saat berharap, kerajaan dapat melakukan siasatan secara telus agar pemborong tidak terus memanipulasi harga setiap kali musim perayaan.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Negeri Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff, berkata pihaknya mengesan kenaikan harga ayam sejak kerajaan mengumumkan akan memberi subsidi kepada peladang ternakan itu bagi membantu menampung kenaikan pelbagai kos terutama makanan ayam.

Katanya, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu membuat pemantauan di peringkat pemborong kerana mereka yang mengenakan caj perkhidmatan.

"Selalunya KPDNHEP akan lakukan siasatan di peringkat ladang, tapi sebenarnya siasatan kenaikan harga ayam ini perlu dilakukan di peringkat pemborong atau orang tengah. Mereka ini yang mengawal harga dan biarlah siasatan dan pemeriksaan harga dilakukan dengan telus," katanya.

Berita Harian X