Isnin, 4 April 2022 | 3:56pm
Idris menyaksikan penyerahan BSN Dana Wakaf Al-Ikhlas oleh Ahli Lembaga Pengarah Bank Simpanan Nasional, Datuk Mohd Rizal Mohd Jaafar (kanan) kepada Pengerusi Permodalan BSN Berhad, Asaraf Aboo Bakar (kiri sekali) pada Majlis Perasmian BSN Dana Wakaf Al-Ikhlas di Wisma BSN. - Foto NSTP/Fathil Asri
Idris menyaksikan penyerahan BSN Dana Wakaf Al-Ikhlas oleh Ahli Lembaga Pengarah Bank Simpanan Nasional, Datuk Mohd Rizal Mohd Jaafar (kanan) kepada Pengerusi Permodalan BSN Berhad, Asaraf Aboo Bakar (kiri sekali) pada Majlis Perasmian BSN Dana Wakaf Al-Ikhlas di Wisma BSN. - Foto NSTP/Fathil Asri

BSN Dana Wakaf Al-Ikhlas galak perkasa instrumen wakaf

KUALA LUMPUR: Permodalan Bank Simpanan Nasional Berhad (PBSN) hari ini melancarkan produk wakaf tunai dinamakan BSN Dana Wakaf Al-Ikhlas yang memberi peluang kepada orang ramai melabur sambil beramal.

Melalui produk berkenaan, pelabur berpeluang menyumbang separuh atau 50 peratus daripada jumlah agihan pendapatan dalam inisiatif wakaf tertentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata inisiatif hasil kerjasama PBSN dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) itu mampu menyemarakkan lagi amalan berwakaf khususnya dalam kalangan pelabur yang akhirnya akan beroleh keuntungan di dunia dan akhirat.

"Pelaksanaan inisiatif seumpama ini dapat menggalakkan amalan berwakaf dalam kalangan masyarakat seterusnya meningkatkan kutipan wakaf tunai yang akhirnya akan dimanfaatkan untuk pembangunan sosio-ekonomi ummah.

"Kini dimensi wakaf telah diterokai dan dipelbagaikan medium pelaksanaannya seperti wakaf bersifat pelaburan dan instrumen pasaran modal Islam. Sehubungan itu, saya yakin pelaksanaan pelaburan Dana Unit Amanah Islamik BSN Dana Wakaf Al-Ikhlas antara YWM dan PBSN ini tepat pada masanya," katanya berucap pada Majlis Pelancaran BSN Dana Wakaf Al-Ikhlas Permodalan BSN Berhad dan Yayasan Waqaf Malaysia.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Datuk Selamat Paigo, Ahli Lembaga Pengarah BSN, Datuk Mohd Rizal Mohd Jaafar, Pengerusi Permodalan BSN Berhad, Asaraf Aboo Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malausia, Prof Dr Amir Shaharuddin.

Idris berkata, sebahagian daripada pendapatan dijana melalui produk yang ditawarkan sejak 25 Mac lalu itu akan disalurkan sebagai dana wakaf tunai.

"Dana wakaf terkumpul ini kemudiannya akan diagihkan kepada pihak memerlukan dalam sektor dikenal pasti antaranya pendidikan, kesihatan, pemerkasaan komuniti, bantuan bencana, keusahawanan dan mana-mana projek dalam sektor lain yang akan ditentukan oleh pengurus dari semasa ke semasa," katanya.

Pada majlis sama, BSN turut menyerahkan replika cek kepada PBSN bernilai RM25 juta sebagai dana permulaan dengan menyasarkan saiz pelaburan dana bagi tahun ini sebanyak RM30 juta.

Berita Harian X