Isnin, 4 April 2022 | 1:16pm
Malaysia sasar pergiatkan industri hiliran berasaskan sawit dan getah ke Turki. - FOTO NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Malaysia sasar pergiatkan industri hiliran berasaskan sawit dan getah ke Turki. - FOTO NSTP/SYAFEEQ AHMAD

Pergiatkan industri hiliran berasaskan sawit, getah ke Turki

KUALA LUMPUR: Negara berhasrat mempergiatkan industri hiliran berasaskan minyak sawit dan getah ke Turki yang disifatkan sebagai pasaran penting kepada agrikomoditi Malaysia.

Perkara itu dinyatakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam pertemuan bersama Menteri Perdagangan Turki, Dr Mehmet MUS, ketika mengetuai Misi Ekonomi dan Promosi Produk Agrikomoditi

ke Turki antara 26 hingga 30 Mac lalu.

Beliau berkata, Malaysia turut menawarkan kepakaran berasaskan teknologi getah asli iaitu galas getah seismik yang mampu menyerap gegaran gempa bumi bagi industri pembinaan, jambatan dan laluan keretapi di Turki yang kini berkembang pesat.

Selain itu, katanya pihaknya turut menyatakan penghargaan Malaysia kepada Turki atas pengecualian cukai yang lebih rendah hasil kerjasama Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki (MTFTA) yang dimeterai pada 2019, selain mengadakan perbincangan untuk menjadikan Turki hab untuk produk agrikomoditi negara ke benua Eropah dan Asia Tengah.

"Isu berkaitan minyak sawit turut diperjelaskan dan Malaysia mempelawa Turki untuk memberi sokongan dalam berhadapan sikap prejudis terhadap produk sawit.

"Sesi pertemuan turut diadakan bersama penggiat industri di Ankara bagi membincangkan isu dan masalah dihadapi, selain mempromosikan agrikomoditi utama Malaysia iaitu minyak sawit, getah, kayu kayan, koko dan lada," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Misi Ekonomi dan Promosi Produk Agrikomoditi ke Turki sebahagian daripada aktiviti berterusan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi mempromosi dan meningkatkan perdagangan produk agrikomoditi negara di peringkat global.

Semasa di Istanbul, delegasi turut mengadakan pertemuan bersama pengurusan syarikat Yildiz Holdings, Turkey's Leading Business Association (MUSIAD), lawatan ke kilang perabot Sevila Movilya serta menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Turkish Timber Importers and Exporters Association (TORID).

Nilai dagangan produk agrikomoditi negara dengan Turki pada 2021 berjumlah RM6.02 bilion dan nilai eksport RM5.99 bilion.

Eksport produk agrikomoditi Malaysia ke Turki meningkat 49.5 peratus berbanding RM4.01 bilion pada 2020.

Empat produk agrikomoditi utama dieksport ke Turki adalah produk berasaskan sawit (RM4.38 bilion), diikuti getah (RM1.29 bilion), koko (RM304.5 juta) dan kayu-kayan (RM8.43 juta).

Berita Harian X