Ahad, 3 April 2022 | 3:16pm

Masjid Jamek Kampung Baru edar 3,500 bubur lambuk sehari

KUALA LUMPUR: Seawal jam 3 pagi, kira-kira 30 sukarelawan Masjid Jamek Kampung Baru sudah memulakan persiapan menyediakan bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai setiap kali Ramadan.

Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru, Datuk Mohd Khay Ibrahim, berkata seperti tahun sebelum ini, sebanyak 15 periuk bubur lambuk akan dimasak setiap hari.

Katanya, proses memasak bubur yang menggunakan resipi tradisi sejak lebih 100 tahun lalu itu akan siap kira-kira jam 11 pagi dan kemudian dibungkus sebelum diedarkan.

"Sebanyak 3,500 bungkus bubur lambuk akan mula diedarkan secara percuma selepas solat Asar kepada jemaah yang datang ke masjid.

"Selain itu terdapat juga kaedah pandu lalu di hadapan pintu masjid bagi memudahkan orang ramai mengambil bubur tanpa perlu turun dari kenderaan," katanya kepada BH, hari ini.

Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru (MJKB), Datuk Mohd Khay Ibrahim (kiri) turut serta bersama kariah masjid dalam menyediakan bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru.- Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru (MJKB), Datuk Mohd Khay Ibrahim (kiri) turut serta bersama kariah masjid dalam menyediakan bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru.- Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Tinjauan di Masjid Jamek Kampung Baru, mendapati proses memasak bubur lambuk berjalan dengan lancar di dapur yang dikhaskan untuk memasak bubur itu di dalam kawasan masjid berkenaan.

Selain itu, semua sukarelawan juga sudah mendapatkan suntikan vaksin (pelalian anti-tifoid) sebagai langkah keselamatan.

Mohd Khay berkata, masjid itu menggunakan antara lima sehingga enam tan beras sepanjang Ramadan untuk penyediaan bubur yang mempunyai keunikan tersendiri itu.

Katanya, bahan lain yang turut digunakan termasuk santan, udang, daging, rempah, bawang dan banyak lagi yang membabitkan kos sebanyak RM350,000 sebulan.

"Kos menyediakan bubur lambuk kali ini meningkat kira-kira 25 peratus, berikutan kebanyakan barangan sudah naik harga," katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap, orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan bubur lambuk yang menggunakan resipi tradisi itu selain memanfaatkan bulan Ramadan untuk meningkatkan amalan.

Pada tahun 2020 ketika COVID-19 melanda negara, Masjid Jamek Kampung Baru terpaksa membatalkan program edaran bubur lambuk yang menjadi acara tahunan masjid itu.

Bagaimanapun, tahun lalu Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kebenaran pengurusan masjid memasak dan mengagihkan semula bubur lambuk kepada orang ramai.

Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru (MJKB), Datuk Mohd Khay Ibrahim (kanan) bersama bubur lambuk yang telah siap dibungkus untuk diagihkan kepada orang ramai di Masjid Jamek Kampung Baru. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru (MJKB), Datuk Mohd Khay Ibrahim (kanan) bersama bubur lambuk yang telah siap dibungkus untuk diagihkan kepada orang ramai di Masjid Jamek Kampung Baru. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X