Ahad, 3 April 2022 | 12:42pm
 Datuk Selamat Paigo
Datuk Selamat Paigo

8 projek wakaf manfaat asnaf dilaksana sejak RMKe-9

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM315 juta diperuntukkan bagi menjalankan 18 projek pembangunan wakaf sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9).

Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Datuk Selamat Paigo, berkata projek pembangunan tanah wakaf di beberapa negeri memberi manfaat khususnya kepada golongan asnaf.

"Pembangunan wakaf diberi perhatian bermula RMKe-9, yang mana pelbagai peruntukan disalurkan Kerajaan Persekutuan kepada negeri. Hingga kini sebanyak 18 projek dilaksanakan di negeri-negeri berdasarkan kepada permintaan.

"Kita tapis dan lihat cadangan dikemukakan negeri untuk bangunkan tanah wakaf ini supaya ia dapat memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia.

"Contohnya pembinaan pangsapuri kos sederhana di Pulau Pinang yang ternyata memberi impak besar dalam membantu golongan berpendapatan rendah termasuk asnaf," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel jemputan slot Bual Bicara: Wakaf Mensejahterakan Keluarga Malaysia sempena sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2022 yang disiarkan secara maya di Facebook TVAlHijrah hari ini.

Perasmian sambutan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Turut hadir sebagai panel Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), Prof Dr Amir Shaharuddin.

Selain itu Selamat berkata, perbincangan berterusan akan dilakukan JAWHAR dengan pihak negeri bagi mengenal pasti projek yang boleh memberi kesan besar sekali gus dapat mensejahterakan Keluarga Malaysia.

Sementara itu Amir berkata, persepsi bahawa sumbangan wakaf hanya digunakan untuk tujuan keagamaan sahaja perlu diubah.

"Kita nak ubah minda masyarakat bahawa wakaf juga boleh meningkatkan kualiti hidup. Contohnya kita akan bangunkan tanah wakaf yang belum diusahakan lagi dengan projek pertanian.

"Sekarang kos sara hidup tinggi, sayuran termasuk cili mahal, jadi tanah wakaf boleh diusahakan dan hasilnya dapat dijual pada harga lebih murah," katanya.

Tambah beliau, menerusi inisiatif Wakaf Tunai iaitu dana hasil sumbangan orang ramai juga boleh digunakan untuk membantu golongan terkesan pandemik COVID-19 termasuk ibu tunggal menambah pendapatan.

"Sempena Ramadan ini YWM juga mengatur beberapa program bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana yang hendak bangkit semula selepas pandemik.

"Kita juga hendak tarik perhatian masyarakat untuk berwakaf kerana nikmat dan pahala dalam wakaf adalah berkekalan, berpanjangan," katanya.

Berita Harian X