Ahad, 3 April 2022 | 11:00am
Nasaruddin (kanan) bersama Manoharan (tengah) dan Alexander melihat brosur dipamerkan selepas majlis perasmian PPP kendalian Tropical Charters, hari ini. - NSTP/HAMZAH OSMAN
Nasaruddin (kanan) bersama Manoharan (tengah) dan Alexander melihat brosur dipamerkan selepas majlis perasmian PPP kendalian Tropical Charters, hari ini. - NSTP/HAMZAH OSMAN

Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi jana pulangan RM50 juta

LANGKAWI: Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi mencapai kejayaan membanggakan selepas merekodkan ketibaan 10,216 pelancong sepanjang tempoh 15 November 2021 hingga 31 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib, berkata ia sekali gus berjaya menjana pulangan sebanyak RM50 juta kepada negara.

"Berbekalkan kejayaan itu dan susulan pembukaan semula sempadan negara mulai Jumaat lalu, LADA yakin jumlah pelawat boleh mencecah 2.5 juta orang dengan pulangan RM3.2 bilion menjelang akhir tahun ini.

"Kita optimis untuk mencapai angka itu kerana menjelang Jun depan, beberapa negara di hemisfera utara dan Asia Barat seperti Arab Saudi serta Emiriah Arab Bersatu (UAE), akan mengalami musim panas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Pusat Penerangan Pelancongan (PPP) kendalian Tropical Charters Sdn Bhd (Tropical Charters), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia/Afrika) Tourism Malaysia, P Manoharan, dan Ketua Pegawai Eksekutif Tropical Charters, Datuk Alexander Issac.

Mengulas pembukaan PPP baharu di kawasan tumpuan pelancong di Pantai Chenang pula, Nasaruddin berkata, ia adalah satu lagi langkah untuk menyemarakkan industri pelancongan di pulau ini yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

"Pusat dibangunkan melalui perkongsian pintar antara sektor swasta dengan kerajaan ini berpotensi menjadi hab jualan pakej dan produk pelancongan, sekali gus memudahkan pelancong mendapatkan maklumat.

"Pendekatan ini wajar diketengahkan. Pelbagai pihak perlu mencipta idea baharu dan tindakan kreatif demi mengembalikan kecemerlangan sektor pelancongan yang suram sejak kira-kira dua tahun lalu," katanya.

Berita Harian X