Ahad, 3 April 2022 | 10:49am
Gajah denak, Abot dan Rambai membantu memindahkan gajah betina liar di FELDA Kota Gelanggi Tiga, Jerantut, semalam.
Gajah denak, Abot dan Rambai membantu memindahkan gajah betina liar di FELDA Kota Gelanggi Tiga, Jerantut, semalam.

Abot, Rambai bantu pindah gajah liar

JERANTUT: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang mengambil masa lebih lima jam untuk memindahkan dua gajah liar di FELDA Kota Gelanggi Tiga, di sini, semalam.

Sebelum itu, haiwan berkenaan ditangkap oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang.

Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman, berkata haiwan berkenaan ditangkap dalam Hutan Simpan Tekai yang terletak hampir dengan ladang kelapa sawit peneroka.

"Gajah betina berkenaan dianggar berumur 40 tahun dengan berat kira-kira tiga tan sementara anaknya juga betina berumur enam bulan. Dua gajah ini ditemui berkeliaran mencari makan bersama kumpulan beberapa gajah lagi dalam ladang kelapa sawit hingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

"Operasi memindahkan haiwan terbabit mengambil masa kira-kira lima jam bermula 8.30 pagi, seramai 29 anggota UTK PERHILITAN Pahang dan PKGK Kuala Gandah terbabit dalam operasi berkenaan.

"Operasi kali ini dianggap mencabar terutama apabila kami terpaksa menarik gajah terbabit sejauh satu kilometer melalui jalan balak untuk sampai ke lori yang terletak dalam ladang kelapa sawit," katanya.

Beliau berkata, gajah denak, Abot dan Rambai digunakan bagi membantu menarik dan melancarkan lagi operasi terbabit yang mencapai kejayaan dengan cemerlang.

Che Ku Mohd Zamzuri berkata, pihaknya bertindak memasang mikrocip bagi tujuan penandaan gajah liar terbabit sebelum dilepaskan ke habitat asal di Taman Negara Terengganu.

Katanya lagi, pihaknya akan terus memantau kawasan keliaran haiwan berkenaan bagi mengesan kumpulan gajah terbabit yang mungkin akan datang semula ke tempat terbabit untuk mencari makan.

Berita Harian X