Ahad, 3 April 2022 | 10:25am
(Gambar fail) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. - NSTP/FATHIL ASRI
(Gambar fail) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. - NSTP/FATHIL ASRI

Wakaf mampu sumbang pembangunan sosioekonomi negara - Idris

KUALA LUMPUR: Semua lapisan masyarakat perlu memainkan peranan untuk menyemarakkan amalan berwakaf serta mempromosikannya sebagai antara sumber kewangan sosial Islam dalam usaha memperkasakan ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata usaha itu seiring langkah kerajaan yang bersetuju menjadikan Ramadan setiap tahun sebagai Bulan Wakaf bagi memperkasakan wakaf di seluruh negara.

Beliau berkata, ia sejajar pelancaran Ramadan sebagai Bulan Wakaf Kebangsaan pada April tahun lalu oleh Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kerajaan kini menjadikan wakaf sebagai salah satu instrumen yang mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

"Agensi kerajaan dan swasta turut melihat amalan wakaf amat membantu dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

"Ini berikutan pelbagai inisiatif wakaf yang dibangunkan boleh menjadi perintis kepada usaha pembaharuan, penambahbaikan dan pengukuhan kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2022 bertema 'Wakaf, Mensejahterakan Keluarga Malaysia', yang disiarkan secara maya, hari ini.

Mengulas lanjut, Idris berkata, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta universiti awam sudah bergerak seiring dalam usaha memberi kesedaran dan membudayakan amalan berwakaf dalam kalangan Keluarga Malaysia.

"Antara usaha sedang dilaksanakan JAWHAR, tahun ini, ialah menerbitkan beberapa buku yang membincangkan secara khusus berkaitan wakaf. Antaranya, Manual Pengurusan Agihan Manfaat Wakaf hasil kerjasama JAWHAR bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"Ia juga merangkumi penerbitan Perakaunan Aset Wakaf di Malaysia hasil kerjasama JAWHAR dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Garis Panduan Pungutan Dana Wakaf Al-Quran yang membabitkan kerjasama JAWHAR dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya.

Beliau menjelaskan, amalan berwakaf bukan perkara asing, sebaliknya sudah dilaksana dan dimanfaatkan masyarakat sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

"Begitu juga di luar negara, wakaf terbukti dapat menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan negara dalam sektor ekonomi, pendidikan serta kesihatan.

"Sebagai contoh, Universiti Al-Azhar di Mesir menjadi ikon peranan wakaf dalam masyarakat. Universiti itu ditadbir sepenuhnya daripada sumber wakaf, dan terus maju serta berjaya menghasilkan cendekiawan disegani seantero dunia," katanya.

Malah, Idris berkata, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) turut meliputi 10 strategi membabitkan peranan wakaf, seperti menggalakkan sistem kewangan yang mampan dan inklusif serta memanfaatkan sepenuhnya tanah rizab Melayu dan instrumen wakaf.

Berita Harian X