Sabtu, 2 April 2022 | 3:31pm
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyempurnakan Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia di UiTM Permatang Pauh, semalam. NSTP/Ihsan Yayasan Prihatin Nasional
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyempurnakan Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia di UiTM Permatang Pauh, semalam. NSTP/Ihsan Yayasan Prihatin Nasional

Belajar demi adik beradik yang banyak berkorban

BUKIT MERTAJAM: "Selepas kematian ayah pada September tahun lalu, abang-abang saya yang membantu membiayai kos sara hidup dan hal berkaitan pendidikan," kata Farhana Syafika Suait, 22.

Katanya, dia yang gagal melanjutkan pelajaran ke universiti ketika permohonan awal mengisi borang Unit Pusat Universiti (UPU) secara dalam talian tahun lalu mencuba nasib buat kali kedua tahun ini demi menggapai impiannya.

Anak kesembilan daripada 10 beradik itu berkata, dia akhirnya ditawarkan masuk ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh di sini, untuk mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

"Syukur saya mendapat tempat selepas usaha pertama mengisi borang UPU tidak berhasil. Untuk permohonan kali kedua ini saya mohon terus ke laman sesawang UiTM.

"Saya memang nak sangat sambung belajar, di samping nak balas jasa keluarga terutama abang-abang saya yang menjaga segala kos pengajian selepas ayah tiada," katanya.

Farhana Syafika berkata demikian ketika ditemui di majlis perasmian Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) anjuran Yayasan Prihatin Nasional (YPN) yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di UiTM Permatang Pauh di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Induk JPKM Prof Emeritus Tan Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif YPN Datuk Mohd Aizuddin Ghazali.

Farhana Syafika berkata, dia juga mahu memenuhi hasrat arwah bapanya yang ingin melihat anak-anaknya berjaya dalam kehidupan.

"Ayah seorang pesawah, manakala emak pula suri rumah dan disebabkan itu mereka nak sangat lihat anak-anak berjaya sekali gus dapat bantu mereka.

"Saya akan cuba buat yang terbaik untuk keluarga saya," katanya yang sebelum itu menghabiskan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) di Politeknik Ungku Omar, Ipoh.

Terdahulu, program jelajah pendidikan itu adalah kesinambungan daripada siri Jelajah Pendidikan Bumiputera (JBP) yang dianjurkan sebelum ini iaitu dalam bentuk pameran pendidikan yang membabitkan semua Universiti Awam (UA) serta institut kemahiran tinggi.

Sementara itu, Mohd Aizuddin berkata, secara keseluruhannya, JPKM memberikan sumbangan yang besar kepada rakyat Malaysia khususnya bagi golongan pelajar yang tercicir serta kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, YPN juga berharap pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) antara 2016 hingga 2021 yang kurang berkemampuan dan bernasib baik agar tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk terus belajar.

Berita Harian X