Sabtu, 2 April 2022 | 11:00am
Shah Fuannizam (tengah) bersama pembantunya menyediakan 1.5 tan daging sempena mantai Ramadan tahun ini. - NSTP/MOHD AMIN JALIL
Shah Fuannizam (tengah) bersama pembantunya menyediakan 1.5 tan daging sempena mantai Ramadan tahun ini. - NSTP/MOHD AMIN JALIL

Aktiviti mantai, jualan lemang dan rendang sambut Ramadan

SEREMBAN: Tradisi 'mantai' yang dikaitkan dengan aktiviti melapah dan menjual daging setiap kali menjelang Ramadan dan Aidilfitri dalam kalangan masyarakat Negeri Sembilan terus disemarakkan, manakala penjual lembang dan rendang juga tidak melepaskan peluang menambah rezeki pada bulan suci kali ini.

Menurut dialek Negeri Sembilan, mantai bermaksud membantai dan sudah diamalkan sejak zaman nenek moyang di mana penduduk bergotong-royong menyembelih lembu atau kerbau, kemudian melapah dan membahagikan daging untuk semua.

Tinjauan di sekitar daerah ini mendapati tradisi mantai yang sinonim dengan negeri Adat Perpatih ini sudah bermula sejak petang semalam. Kemeriahan lebih dirasakan apabila penternak lembu dan kerbau mula membuat persiapan menjual daging lembu serta kerbau, manakala pembuat lemang dan rendang turut tidak melepaskan peluang.

Bagi Shah Fuannizam Zolkifly, 31, yang menjual daging lembu sempena mantai Ramadan sejak enam tahun lalu, dia menyediakan 1.5 tan daging bagi mantai kali ini dengan persiapan dan aktiviti menjual sudah bermula sejak jam 3 pagi tadi dan orang ramai mula membeli sejak awal 6 pagi.

"Berbanding ketika mantai Ramadan dua tahun lalu, kali ini kuantiti daging yang kami jual lebih banyak kerana yakin ramai akan membeli selepas negara masuk peralihan fasa ke endemik. Jika dulu tidak begitu ramai keluar, kali ini ramai mendapatkan daging," katanya yang menjual daging di tepi jalan masuk Kampung Sentosa, Paroi, di sini.

Shah Fuannizam yang dibantu empat pekerja, berkata daging dijual pada harga RM36 sekilogram (kg) dan pembeli bukan sahaja penduduk sekitar Paroi, malah dari luar negeri ini, terutama anak penduduk yang balik kampung bagi menyambut Ramadan esok.

Pasangan suami isteri, Azlan Osman, 39, dan Siti Rahayu Abd Ghani, 42, berkata mereka menyediakan 500 batang lemang pada mantai Ramadan tahun ini, menggunakan resipi diwarisi daripada nenek moyang dan dijual antara RM10 hingga RM16 sebatang mengikut saiz buluh.

Azlan yang juga kakitangan kerajaan, berkata persiapan membakar lemang bermula jam 8 malam tadi dan mula dijual di kawasan Paroi sejak jam 6 pagi tadi bersama rendang daging, ayam dan itik.

Zulkry Hasan, 46, dan abangnya, Zulkarnain, 52, dari Kampung Sentosa, berkata sejak lebih 15 tahun, keluarga mereka tidak akan melepaskan peluang menyertai aktiviti mantai setiap kali menjelang Ramadan dan hari raya, selain membuat lemang termasuk mencari buluh yang bermula tiga minggu lalu.

Zulkry (kiri) dan Zulkarnain mula membakar 600 batang lemang jam 7 pagi untuk jualan di Kampung Sentosa, Paroi, Seremban. - NSTP/MOHD AMIN JALIL
Zulkry (kiri) dan Zulkarnain mula membakar 600 batang lemang jam 7 pagi untuk jualan di Kampung Sentosa, Paroi, Seremban. - NSTP/MOHD AMIN JALIL

"Ia disusuli persiapan menyediakan santan, beras pulut, daun pisang, serai dan pelbagai lagi untuk memasak lemang dan rendang daging. Bagi masyarakat Negeri Sembilan, sememangnya seperti tidak lengkap menyambut Ramadan atau hari raya jika tidak ada lemang dan rendang, yang juga makanan tradisi masyarakat di sini.

"Mantai, membuat lemang dan rendang antara acara wajib bagi setiap keluarga terutama di daerah Jempol, Kuala Pilah, Jelebu, Tampin, Rembau, malah di Seremban sendiri yang masih berpegang teguh dengan adat berkenaan walaupun ramai kalangan penduduk yang menetap di Seremban dari negeri lain," kata Zulkarnain.

Kali ini, katanya, mereka membakar 600 batang lemang yang bermula sejak jam 7 pagi tadi dan akan dijual pada harga antara RM13 hingga RM15 sebatang, manakala rendang daging dan ayam dijual pada harga RM10 bagi 300 gram.

Berita Harian X