Sabtu, 2 April 2022 | 9:27am
Raja Muda Perlis (tengah) menunjukkan replika resit bayaran zakat fitrah RM7 tahun ini bersama Raja Puan Muda Perlis dan Mohd Nazim. - Foto ihsan MAIPs
Raja Muda Perlis (tengah) menunjukkan replika resit bayaran zakat fitrah RM7 tahun ini bersama Raja Puan Muda Perlis dan Mohd Nazim. - Foto ihsan MAIPs

Kadar zakat fitrah Perlis kekal RM7

KANGAR: Bayaran zakat fitrah bagi umat Islam di Perlis pada tahun ini kekal pada kadar RM7 seperti tahun sebelumnya.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah penetapan kadar itu selaras dengan kelulusan Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang memperakukan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Perlis untuk mengekalkan kadar zakat fitrah tahun ini berdasarkan harga beras yang lazim digunakan oleh masyarakat.

"Kadar bayaran zakat fitrah pada tahun ini kekal RM7 seperti tahun sebelumnya.

"Selain bayaran tunai, umat Islam yang menunaikan zakat fitrah dengan beras pula ditetapkan pada kadar pengeluaran sebanyak satu gantang Nabawi seorang, iaitu bersamaan dengan 2.6 kilogram (kg)," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1443H anjuran Jabatan Mufti Perlis dan MAIPs di Tapak Cerapan Hilal Perlis, Kompleks Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis, di sini, semalam.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, turut mengiringi baginda pada majlis itu.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, berkata menjadi kewajipan setiap umat Islam di negeri ini untuk mengeluarkan zakat fitrah sebagaimana ditetapkan bagi diri, isteri dan anak serta tanggungan lain.

Umat Islam juga boleh menunaikan zakat fitrah melalui amil kariah di seluruh Perlis dan secara dalam talian, di samping melayari laman web MAIPs: www.maips.gov.my untuk maklumat lanjut.

Sementara itu pada majlis sama, baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs turut berkenan melancarkan sebaran penerbitan bertajuk 'Adab-adab Berbuka Puasa Menurut Sunnah' terbitan Jabatan Mufti Perlis.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata sebaran penerbitan itu bertujuan menggalakkan umat Islam sentiasa menghayati dan mengamalkan adab berbuka puasa yang bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW.

Berita Harian X