Jumaat, 1 April 2022 | 3:45pm
Alexander melakukan sesi walkabout pada perasmian Program Jualan Keluarga Malaysia sempena Ramadan bagi peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PJKM WPKL) hari ini. Turut bersama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Roziah Abudin. - foto BERNAMA

900 pemantau harga digerak ke bazar Ramadan

KUALA LUMPUR: Lebih 900 pegawai pemantau harga (PPH) iaitu orang awam yang bekerja secara kontrak di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan digerakkan memantau harga makanan di bazar Ramadan seluruh negara.

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pegawai terbabit ditugaskan bagi membantu lebih 2,000 penguat kuasa sedia ada melakukan pemantauan.

Selain itu, katanya, KPDNHEP mempunyai 72 Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) termasuk di kawasan pedalaman bagi memastikan pengguna tidak menjadi mangsa kenaikan harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Melalui sistem pemantauan dilaksanakan secara real time (masa nyata) pegawai dari ECC boleh terus buat pemantauan apabila terima aduan atau gangguan bekalan harga.

"Sebagai contoh kita terima aduan daripada pengguna mengenai kenaikan harga barang di bazar Ramadan, pegawai pemantau akan dapatkan lokasi dan dalam masa singkat akan ke sana untuk menyiasat serta mengetahui keadaan sebenar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jualan Keluarga Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sempena Ramadan di pasar raya Aeon Big Danau Kota, hari ini.

Alexander meninjau harga barang keperluan asas pada Program Jualan Keluarga Malaysia yang berlangsung selama sebulan sempena Ramadan 2022 di Aeon Big, Danau Kota. - Foto NSTP/Genes Gulitah
Alexander meninjau harga barang keperluan asas pada Program Jualan Keluarga Malaysia yang berlangsung selama sebulan sempena Ramadan 2022 di Aeon Big, Danau Kota. - Foto NSTP/Genes Gulitah

Alexander turut menjelaskan, bekalan bahan mentah dijamin mencukupi menjelang Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

KPDNHEP akan terus memantau bekalan barangan dalam pasaran supaya tiada gangguan bekalan yang akan memberi kesan kepada kenaikan harga jualan.

Mengenai Jualan Keluarga Malaysia yang akan bermula pada Ahad ini hingga 2 Mei di seluruh negara, beliau berkata, sebanyak 12 barangan terpilih daripada Skim Harga Kawalan Keluarga Malaysia (SHMKM) dijual.

Ia menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian seperti ayam, telur dan sayur-sayuran serta barangan keperluan asas dengan harga 20 hingga 50 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat.

Program yang sudah dilaksanakan sejak Disember tahun lalu terbukti membantu meringankan beban perbelanjaan isi rumah rakyat Malaysia di samping menjadi pemangkin kepada pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan bijak.

Berita Harian X