Jumaat, 1 April 2022 | 12:09pm
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila. - Foto NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila. - Foto NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Manfaat kelonggaran solat tanpa penjarakan fizikal

MARANG: Umat Islam diseru memanfaatkan kelonggaran menunaikan solat jemaah tanpa penjarakan fizikal dengan mengimarahkan masjid dan surau selepas dua tahun negara berdepan pandemik COVID-19.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata setiap umat Islam perlu memanfaatkan peluang kebebasan yang diberi susulan Fasa Peralihan Ke Endemik, bermula hari ini ini untuk memakmurkan semula masjid.

"Alhamdulillah, kita kena manfaatkan peluang kebebasan yang diberi ini. Jangan takut.

"Namun, pada masa sama, kita mestilah jaga kesihatan, pencegahan kena jaga, vaksin kita ambil, kena ada ikhtiar.

"Terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak ini," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyeru masyarakat untuk mengambil suntikan COVID-19 sebagai ikhtiar membendung jangkitan berkenaan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan aktiviti solat jemaah di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal, susulan Fasa Peralihan Ke Endemik bermula hari ini.

Berita Harian X