Jumaat, 1 April 2022 | 10:36am

Agong, Raja Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Kamsiah Kamaruddin, yang meninggal dunia semalam.

Menerusi catatan dalam laman Facebook Istana Negara, baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian itu dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan sedih itu.

"Seri Paduka berdua mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin.

"Baginda juga menghargai khidmat bakti, jasa dan pengorbanan Allahyarham kepada negara. Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada negara, khususnya kepada Kementerian Luar," kata catatan itu.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Siloam Semanggi, Jakarta, kira-kira jam 7 malam (waktu tempatan) disebabkan denggi dan komplikasi kesihatan.

Kamsiah, 54, berkhidmat di Wisma Putra sejak 1992 dan dilantik Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN pada 16 Julai 2019 serta pernah bertugas di Thailand dan Singapura.

Anak kelahiran Perak itu juga pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Setiausaha Bahagian Amerika, Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia dan Setiausaha di Jabatan Hal Ehwal Dua Hala Eropah.

Allahyarham adalah isteri kepada Duta Besar Malaysia ke Filipina, Norman Muhamad. – BERNAMA

Berita Harian X