Rabu, 30 March 2022 | 5:55pm
Nancy (kiri) diiringi Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Zainuddin Wahab (tiga kanan) bergambar bersama wakil penggiat industri pelancongan pada majlis pelancaran Pelan Strategik dan Pemasaran 2022=2026 Tourism Malaysia hari ini. - FOTO NSTP/ SAIFULLIZAN TAMADI
Nancy (kiri) diiringi Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Zainuddin Wahab (tiga kanan) bergambar bersama wakil penggiat industri pelancongan pada majlis pelancaran Pelan Strategik dan Pemasaran 2022=2026 Tourism Malaysia hari ini. - FOTO NSTP/ SAIFULLIZAN TAMADI

Enam teras lonjak kembali sektor pelancongan negara

KUALA LUMPUR: Enam teras digariskan melalui Pelan Strategik dan Pemasaran 2022-2026 Tourism Malaysia yang dilancarkan hari ini, dengan matlamat meningkatkan semula sektor pelancongan negara.

Enam strategik itu adalah menggalakkan pelancongan domestik; menjalin perkongsian pintar; meningkatkan promosi pelancongan (dalam dan luar talian); mengoptimumkan komunikasi strategik dan pembabitan media; melaksanakan gelembung perjalanan; serta transformasi strategik.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata, pelan strategik dan pemasaran yang ditetapkan untuk lima tahun akan datang bertujuan meningkatkan industri pelancongan selaras pembukaan semula sepenuhnya sempadan Malaysia mulai 1 April ini.

"Pelan ini memberi tumpuan kepada promosi pelancongan domestik dan juga pemulihan pelancongan antarabangsa dengan lebih menekankan penggunaan digital, inovasi, kesihatan dan keselamatan," katanya ketika merasmikan Pelan Strategik dan Pemasaran 2022-2026 Tourism Malaysia hari ini.

Beliau berkata, pada 2020 ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia menjunam 83.4 peratus dan hanya empat juta pelancong dicatatkan berbanding 26.1 juta pada 2019.

"Pandemik sekali lagi menekankan kepentingan pelancongan domestik, yang sentiasa menjadi penyelamat industri setiap kali kita menghadapi krisis.

"Sementara kita menunggu pelancongan antarabangsa bangkit semula, pelancongan domestik terus memacu pemulihan," katanya.

Berdasarkan perkembangan semasa, katanya pelancongan domestik dan percutian singkat, aktiviti riadah terbuka dan berasaskan alam semula jadi, serta pelancongan luar bandar kini menjadi aliran utama sektor pelancongan 2022.

"Dengan vaksinasi yang meluas, penarikan sekatan perjalanan, penyelarasan standard dan maklumat lebih jelas tentang protokol perjalanan, dijangka mempercepatkan pemulihan pelancongan antarabangsa.

"Diharapkan strategi dan rancangan ini serta sokongan industri akan dapat melonjakkan jumlah kedatangan pelancong ke negara ini dengan sasaran duajuta ketibaan pelancong antarabangsa membabitkan pulangan hasil RM8.6 bilion," katanya.

Nancy berkata, ketibaan pelancong antarabangsa dijangka berkembang beransur-ansur tahun ini yang mana lebih ramai pelancongan dari negara jiran iaitu Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei, diikuti negara Asia Tenggara serantau, Asia dan dari pasaran jarak sederhana dan jauh.

"Saya percaya inilah masanya untuk Malaysia memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada bagi membina keyakinan dan pertumbuhan semula sektor pelancongan.

"Dengan penciptaan produk yang bermakna dan bernilai tinggi, juga diiringi kecemerlangan dalam kualiti perkhidmatan, tidak dinafikan industri pelancongan akan dapat menarik lebih ramai pelancong yang sanggup membayar harga premium," katanya.

Sementara itu, pendekatan baharu dalam pelan strategi pemasaran itu antara lain menggariskan keutamaan dalam pemasaran kreatif dan digital, meningkatkan promosi campuran, beralih kepada emosi dan promosi berasaskan sentimen, berpindah ke pasaran tersuai dan mengukuhkan jenama.

Pelan Strategik dan Pemasaran Tourism Malaysia dibangunkan berdasarkan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030, Rancangan Ekopelancongan Negara 2016-2025 dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DAKEN) 2021 selaras Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).

Berita Harian X