Rabu, 30 March 2022 | 1:00pm
Pelajar baharu mendaftar di UITM kampus Melaka di Lendu Alor Gajah. - Foto hiasan NSTP/NAZRI ABU BAKAR
Pelajar baharu mendaftar di UITM kampus Melaka di Lendu Alor Gajah. - Foto hiasan NSTP/NAZRI ABU BAKAR

Pelajar ada masalah boleh berhubung dengan fakulti

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) meminta pelajar yang berdepan dengan sebarang masalah untuk berhubung dengan fakulti, bagi mendapatkan khidmat bantuan.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, berkata universiti itu amat prihatin dengan keperluan pelajar, terutamanya dalam pembelajaran norma baharu susulan COVID-19.

Katanya, UiTM amat mengutamakan kebajikan seluruh warganya, khususnya pelajar dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik, bagi persekitaran pendidikan yang kondusif.

Beliau berkata, kewujudan UiTM untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan meneruskan pembelajaran peringkat universiti dan sewajarnya UiTM membantu golongan B40 dengan kemudahan pembiayaan melalui dana tertentu disediakan.

"UiTM amat memahami kekangan, kesulitan dan situasi yang dihadapi oleh pelajar dalam menjalani proses pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.

"Universiti juga sudah menyediakan pelbagai dana untuk kegunaan pelajar yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan kemudahan pembelajaran seperti dana amanah pelajar, bantuan dari pusat zakat serta dari pihak alumni.

"Saya menyeru kepada pelajar yang berhadapan masalah agar dapat berhubung dengan pihak fakulti dan universiti untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bag membantu melancarkan proses pembelajaran," katanya hari ini.

Beliau berkata, dalam merealisasikan keberkesanan pelaksanaan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian yang terbaik, semua pihak perlu berganding bahu dari semua aspek.

Roziah berkata, susulan penularan video di media sosial membabitkan seorang pensyarah yang mengeluarkan komen sensitif, universiti sudah meneliti serta mengambil tindakan pantas dan sewajarnya terhadap pensyarah berkenaan.

"UiTM juga bertegas untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik universiti dengan sengaja, mahupun tidak," katanya.

Terdahulu, rakaman video pendek memaparkan pensyarah wanita terbabit memarahi seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba dan seolah-olah memperlekeh golongan B40.

Berita Harian X