Selasa, 29 March 2022 | 7:40pm
Abdul Wahab (dua kanan) ketika keluar daripada Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Juwan Riduan
Abdul Wahab (dua kanan) ketika keluar daripada Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Juwan Riduan

Padah hantar bahan berunsur lucah, lelaki didenda RM10,000

KOTA KINABALU: Padah menghantar bahan berunsur lucah menerusi aplikasi Facebook Messenger kepada seorang wanita tiga tahun lalu, seorang lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Noor Hafizah Mohd Salim, selepas tertuduh Abdul Wahab Ismail, 31, mengaku melakukan kesalahan berkenaan pada 4 September dan 9 Oktober 2019.

Dalam kes pertama, tertuduh didakwa menghantar bahan berunsur lucah pada 4 September 2019 melalui aplikasi Facebook Messenger kepada seorang wanita dalam kejadian di Kampung Tarap, Bongawan.

Wanita terbabit seterusnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkaitan kejadian itu pada 24 September 2019.

Tertuduh sekali lagi dilaporkan menghantar bahan berunsur lucah kepada wanita sama pada 9 Oktober 2019.

Susulan laporan itu, pihak SKMM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat serbuan ke rumah tertuduh di Kampung Ulu Luagan Bongawan pada 16 Januari 2020.

Beberapa barangan milik tertuduh yang digunakan untuk menghantar bahan lucah berkenaan turut dirampas termasuk telefon bimbit, dua kad sim dan kad micro SD.

Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan atau tiga bulan penjara bagi kedua-dua kes sekiranya tertuduh gagal membayar denda ditetapkan.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala SKMM diwakili Pegawai Pendakwa, Nazrul Nizam.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pengarah syarikat turut mengaku bersalah atas empat pertuduhan menjual peralatan komunikasi tanpa perakuan SIRIM dan SKMM.

Ia membabitkan dua pertuduhan secara individu manakala dua lainnya membabitkan syarikat milik tertuduh.

Tertuduh, Chai Gua Fang, 60, mengaku melakukan perkara itu pada 23 Jun 2020 melalui syarikat milikinya iaitu East-Con Trading Sdn Bhd yang bertempat di Kompleks Karamunsing.

Chai didakwa sudah menjual sebuah 'audio video sender' dengan harga RM1,790 dan pemeriksaan yang dibuat Juruteknik Kanan di SIRIM QAS International Sdn Bhd mendapati alat komunikasi terbabit adalah kelengkapan komunikasi yang dimandatorikan untuk mendapatkan pemerakuan seperti dikehendaki di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Malaysia (Standard Teknik) 2000.

Pertuduhan seterusnya membabitkan kesalahan menjual sebuah mikrofon tanpa wayar dengan harga RM238 pada 11 Mac 2020.

Juruteknik Kanan di SIRIM QAS International Sdn Bhd menerusi pemeriksaannya mendapati mikrofon terbabit tidak diperakui SIRIM.

Tertuduh dikenakan denda berjumlah RM1,500 bagi setiap pertuduhan dan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Berita Harian X