Selasa, 29 March 2022 | 4:18pm
Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (Turkish Aerospace), Prof Temel Kotil.
Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (Turkish Aerospace), Prof Temel Kotil.

Malaysia berpotensi jadi hab, peneraju industri aeroangkasa Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi menjadi hab industri aeroangkasa di rantau ini kerana lokasi yang stategik serta mempunyai kepakaran kejuruteraan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (Turkish Aerospace), Prof Temel Kotil, berkata negara ini juga berpotensi menjadi peneraju aeroangkasa bagi pasaran Asia Tenggara hanya dalam tempoh setahun.

"Lokasi negara ini yang stategik serta sumber tenaga kerja pakar yang ramai membuka lebih banyak peluang untuk Malaysia dalam industri itu. Di Turki, kami habiskan banyak masa dan wang dalam tempoh 20 tahun untuk membangunkan spektrum penuh bagi produk Turkish Aerospace dan sekarang kami ada sekitar 1,000 jurutera untuk helikopter sahaja.

"Jadi kami mahu bawa pengalaman dan kongsikan dengan Malaysia. Seperti kata pemimpin kami, jika kita menanam buah epal 20 tahun lalu, sekarang pokoknya sudah berbuah, jadi kami ingin Malaysia turut menikmati buah ini. Kami yakin Malaysia lokasi terbaik dan ada potensi tinggi untuk dibangunkan sebagai hab industri aeroangkasa dalam tempoh setahun dari sekarang.

"Kami juga berharap mendapat peluang untuk membuka hab pesawat tempur ringan (LCA) Hurjet untuk keperluan bekalan Asia Tenggara," katanya pada Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022, hari ini.

Kata Temel, Turkish Aerospace sudah membuka pejabat baharu di kampus Cyberview Futurise di Selangor, empat bulan lalu dan melantik sekitar 50 jurutera tempatan untuk membangunkan sistem perisian dan avionik.

Ia yang turut dilengkapi pusat reka bentuk dan kejuruteraan adalah kemudahan pertama dibuka syarikat berkenaan di Asia Tenggara.

"Kami akan terus melabur dan menjalin kerjasama di Malaysia bagi membangunkan teknologi generasi baharu, termasuk dalam bidang industri pertahanan dan penerbangan," katanya.

Beliau berkata, Turkish Aerospacejuga akan berkolaborasi dengan syarikat tempatan, DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTEC) dan beberapa agensi berkaitan serta institusi tempatan untuk membangunkan sistem avionik dan beberapa produk lain seperti dron tanpa pemandu (UAV).

Berita Harian X