Selasa, 29 March 2022 | 10:39am
Petugas perubatan memberikan suntikan vaksin COVID-19 dos pertama kepada kanak-kanak sempena Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Tapak Ekspo Seberang Jaya. - Foto NSTP/Danial Saad
Petugas perubatan memberikan suntikan vaksin COVID-19 dos pertama kepada kanak-kanak sempena Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Tapak Ekspo Seberang Jaya. - Foto NSTP/Danial Saad

Kes meningkat 160 peratus, KKM minta kanak-kanak segera vaksin

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan kanak-kanak yang belum divaksinasi segera mendapatkan vaksin susulan peningkatan 160 peratus kes COVID-19 membabitkan golongan itu yang dimasukkan ke hospital tahun ini.

Timbalan Menteri, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam kenyataan hari ini, berkata kanak-kanak yang belum mendapatkan vaksin diminta berbuat demikian menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) sebelum negara beralih ke Fasa Peralihan ke Endemik mulai 1 April ini.

Katanya, langkah itu bagi memastikan kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun mendapat perlindungan daripada jangkitan teruk dan komplikasi COVID-19.

Beliau berkata terdapat dalam kalangan ibu bapa menganggap ketika fasa peralihan ini, kanak-kanak dalam lingkungan umur berkenaan tidak perlu lagi diberi vaksinasi, namun pada hakikatnya, terdapat peningkatan 160 peratus bilangan kes COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital pada tahun ini.

"Ibu bapa diminta mendaftarkan anak sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan pautan janji temu atau membawa anak lima hingga bawah 12 tahun secara 'walk-in' ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang telah diberitahu sebelum ini.

"Pilihlah untuk vaksinkan anak kerana manfaatnya lebih besar daripada risiko mendapat kesan sampingan vaksin," katanya.

Dr Noor Azmi berkata ibu bapa yang membawa anak mereka ke PPV COVID-19 pada hari bekerja akan diberikan surat pengesahan kehadiran (time-slip) yang membuktikan mereka membawa anak untuk divaksin justeru, beliau berharap majikan sektor kerajaan dan swasta memberi kerjasama dalam hal itu.

Semalam, seramai 1,315,497 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun atau 37.1 peratus populasi itu di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 menerusi PICKids. – BERNAMA

Berita Harian X