KUALA LUMPUR: Kerajaan Jepun memberi bantuan geran projek akar umbi kebudayaan Jepun sebanyak AS$76,063 kepada Pusat Penyelidikan Malaysia-Jepun (MJRC) Universiti Malaya.
Penyampaian geran disempurnakan oleh Duta Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko kepada Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor di Bangunan Canselori Universiti Malaya hari ini.
Takahashi berkata, geran projek akar umbi kebudayaan (GCGP) kerajaan Jepun menawarkan bantuan kewangan bagi menyokong pelaksanaan projek kebudayaan dan pendidikan tinggi yang dijalankan pertubuhan bukan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan badan penyelidikan dan institusi pengajian tinggi yang aktif di peringkat akar umbi.
"Kali ini, geran diberikan untuk pembangunan kemudahan termasuk ruang gaya Jepun, dewan serbaguna, perpustakaan dan bilik penyelidikan untuk MJRC berfungsi sebagai pusat hab pengajian Jepun di Malaysia," katanya.
Katanya, kerajaan Jepun berbesar hati kerana penyampaian geran akar umbi budaya itu bertepatan dengan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Jepun dan Malaysia serta ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur.
Sementara itu, Dr Hamdi berkata, MJRC giat mempromosikan Pengajian Jepun di Malaysia melalui penerbitan, seminar, bengkel pertukaran akademik, penyelidikan bersama dan kerjasama dengan pelbagai institusi Jepun seperti pejabat JICA di Malaysia serta Yayasan Jepun Kuala lumpur.