Isnin, 28 March 2022 | 5:26pm
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman. - NSTP/ARKIB
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman. - NSTP/ARKIB

MPC bangun rangka kerja program subsidi komprehensif

KUALA LUMPUR: Kerangka kerja program subsidi yang komprehensif akan dibangunkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dalam usaha memodenkan subsidi demi kesejahteraan rakyat.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata menerusi pelan tindakan dalam memodenkan subsidi itu, usaha lain turut dilaksanakan termasuk semakan terhadap takrifan dan program subsidi sedia ada, selain analisis kos faedah yang dilakukan secara berstruktur serta telus melalui pendekatan berasaskan bukti.

Beliau berkata, kajian semakan terhadap program subsidi terpilih akan dilakukan bagi memastikan keberkesanan intervensi sebelum semakan keseluruhan program subsidi dilakukan.

"Semakan ini dijangka selesai pada September tahun ini dan akan disusuli dengan perluasan usaha intervensi. MPC yakin inisiatif memodenkan subsidi akan meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

"Inisiatif ini juga mampu menyumbang kepada sasaran sembilan negara terbaik dalam indeks kecekapan kerajaan berdasarkan laporan WCY (World Competitiveness Yearbook) menjelang 2025," katanya dalam kenyataan, semalam.

Pada 23 Mac lalu, Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju Jawatankuasa Kerja Memodenkan Subsidi Bagi Meningkatkan Produktiviti bertujuan memperkukuh sistem perlindungan sosial negara, diterajui MPC.

Abdul Latif berkata, menurut laporan WCY oleh Institute of Management Development (IMD), keberkesanan program subsidi adalah petunjuk yang menyumbang kepada indeks kecekapan kerajaan.

"Pada 2021, Malaysia berada di kedudukan ke-43 daripada kalangan 64 negara untuk indikator subsidi sedangkan pada 2015, negara berada pada kedudukan yang jauh lebih baik di tempat ke-15.

"Perubahan 28 mata ini memerlukan usaha pembaharuan bagi memastikan program subsidi negara adalah berkualiti dan menyeluruh, tidak mengganggu persaingan yang adil serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X