Isnin, 28 March 2022 | 3:54pm
Pemakaian pelitup muka untuk jemaah atau individu lain di kawasan masjid dan surau di Sarawak adalah diwajibkan.- Foto hiasan NSTP
Pemakaian pelitup muka untuk jemaah atau individu lain di kawasan masjid dan surau di Sarawak adalah diwajibkan.- Foto hiasan NSTP

Bilal, khatib di Sarawak tidak perlu pakai pelitup muka

KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang mengecualikan bilal dan khatib daripada memakai pelitup muka ketika mereka menjalankan tugas di masjid dan surau.

MIS dalam kenyataan hari ini, memaklumkan bilal tidak perlu memakai pelitup muka ketika melaungkan azan manakala khatib pula dibenarkan membukanya ketika membaca khutbah.

Turut dikecualikan, penceramah yang menyampaikan kuliah atau forum di masjid dan surau dengan penjarakan fizikal yang wajar.

Bagaimanapun, pemakaian pelitup muka untuk jemaah atau individu lain di kawasan masjid dan surau di negeri ini adalah diwajibkan.

Pada 22 Mac lalu, MIS mengumumkan umat Islam di negeri ini dibenarkan menunaikan solat Jumaat, solat fardhu, solat sunat, khutbah dan wirid selepas solat di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April.

Itu antara SOP yang diputuskan selaras dengan situasi semasa wabak COVID-19 di bawah fasa peralihan ke endemik

COVID-19 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac lalu.

Semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti mengaji, kuliah, ceramah, kursus, bengkel, tadarus, tahlil, berbuka puasa, moreh, qiamullail, sahur, iktikaf, khatamal Al-Quran dan lain-lain adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal.

Pelitup muka hendaklah dipakai sepanjang masa dan wajib mendaftar kehadiran melalui Mysejahtera sebelum masuk ke dalam masjid dan surau.

Selain itu, jemaah juga digalakkan membawa sejadah atau alas sujud sendiri dan jamuan adalah dibenarkan.

Menurut kenyataan itu lagi, jawatankuasa pengurusan masjid dan surau adalah bertanggungjawab untuk menguatkuasakan pelaksanaan SOP itu.

Berita Harian X