Isnin, 28 March 2022 | 1:21pm
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim (kanan). - Foto BERNAMA
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim (kanan). - Foto BERNAMA

Peranan belia wajar diperluaskan - Sultan Nazrin

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah belia wajar diasuh, dididik, dibimbing dan diberikan kepercayaan untuk mengambil tanggungjawab lebih besar dalam agenda membina negara.

Baginda bertitah, belia adalah aset negara yang berharga dengan 2.8 peratus penduduk Malaysia atau 7.8 juta berada dalam golongan itu dan bertaraf pengundi dalam Pilihan Raya Umum Kelima Belas (PRU15).

"Langkah yang dirintis oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) membabitkan belia berperanan langsung menganggotai Majlis, Jawatankuasa Baitulmal di pelbagai peringkat dan Jawatankuasa Masjid hendaklah dilebarkan dalam pelbagai jawatankuasa peringkat negeri, kerajaan tempatan, badan berkanun, institusi dan yayasan.

"Pembabitan belia secara aktif akan dapat membantu untuk meremajakan dasar yang telah tua, meniup pembaharuan kepada struktur yang telah lama dan menyuntik darah muda kepada tubuh yang telah berusia," titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah sedemikian dalam ucapan ketika berkenan berangkat merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Dewan Negeri Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sultan Nazrin juga bertitah, pendekatan kerajaan membabitkan belia dan menyediakan saluran untuk belia dapat menyalurkan idea dan menyuarakan pandangan langkah bijak lagi membina.

"Isu-isu bersifat objektif dan idea-idea konstruktif yang disuarakan dalam Persidangan Dewan Belia, wajar diberikan perhatian," titah baginda.

Baginda bertitah, pencapaian segala wawasan, idea, hasrat dan rancangan bergantung pada jentera pentadbiran yang amanah, ikhlas, jujur dan tulus.

"Jentera pentadbiran yang mengamalkan integriti yang tinggi, jentera pentadbiran yang telus, bebas daripada rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa, dan jentera pentadbiran yang menyedari tanggungjawab kepada rakyat dan tanggungjawab lebih besar kepada Ilahi," titah baginda.

Berita Harian X