Isnin, 28 March 2022 | 1:01pm
(Gambar fail) Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
(Gambar fail) Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Kerajaan Pahang, Pusat perlu bekerjasama rapat laksanakan projek mendesak - Pemangku Raja Pahang

KUANTAN: Kerajaan Pahang dan Kerajaan Pusat perlu bekerjasama rapat untuk melaksanakan projek mendesak bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Belanjawan 2022 serta yang berimpak tinggi di negeri ini.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah ia termasuk pelaksanaan projek tebatan banjir dan pembangunan sistem amaran bencana serta penambahbaikan sistem saliran di lokasi berisiko tinggi berlaku bencana.

Justeru, baginda bertitah, semua jabatan serta agensi perlu mempercepat pelaksanaan projek yang diluluskan, dengan mematuhi peraturan dan tatacara sedia ada.

"Saya tidak mahu melihat projek sakit atau lambat pelaksanaannya di Pahang.

"Setiap peruntukan yang diterima perlu dibelanjakan dengan cepat dan betul supaya rakyat menerima manfaat yang sebaiknya," titah baginda.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah demikian pada majlis perasmian pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, baginda bertitah, semua agensi dan jabatan di Pahang juga perlu meningkatkan kefahaman serta pelaksanaan berkenaan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).

Titah baginda, ini kerana khazanah alam sekitar adalah untuk generasi akan datang.

"Saya cukup berbesar hati kerana kawasan hutan simpan kekal dan hutan simpan di negeri ini ditambah lebih 7,000 hektar tahun ini, menjadikan jumlah kira-kira 1.6 juta hektar hutan simpan kekal di Pahang.

"Angka ini sekali gus menobatkan Pahang sebagai negeri yang mempunyai rizab hutan terbesar di Semenanjung Malaysia.

"Saya titah agar Kerajaan Pahang akan terus menambah keluasan kawasan rizab hutan simpan kekal ini dari semasa ke semasa pada setiap tahun," titah baginda

Selain itu, baginda bertitah, penubuhan Majlis Biodiversiti Pahang dan Perbadanan Taman Negeri Pahang pada 1 Januari lalu adalah tepat pada masanya.

Titah baginda, ia bagi tujuan pemeliharaan dan penggunaan berterusan sumber biologi, kawalan dan pengurusan serta pembangunan alam sekitar, sumber dan biodiversiti Taman Negeri.

"Saya sedang menggerakkan usaha memelihara alam sekitar, flora dan fauna di negeri kita yang tercinta ini. Ia termasuk inisiatif untuk memelihara Harimau Malaya yang kini berada di ambang kepupusan.

"Sekiranya kita semua tidak memberi perhatian sewajarnya, tidak mustahil anak cucu kita hanya akan dapat melihat dan mengenal Harimau Malaya sekadar dalam jata negara mahupun di kulit pasport kita saja nanti," titah baginda.

Selain itu, baginda menyambut baik usaha memperhebat sistem perhubungan digital yang membabitkan pembinaan menara telekomunikasi baharu, menaik taraf menara sedia ada dan menyediakan jalur lebar tanpa wayar bawah pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di negeri ini.

"Menuju ke arah revolusi industri 5.0 dan pelaksanaan 5G di negara kita, saya tidak mahu Pahang ketinggalan.

"Saya tidak mahu ada lokasi, terutama di kawasan luar bandar yang masih langsung tidak menerima liputan Internet.

"Kawasan yang menerima liputan Internet perlahan pula perlu ditambah baik dari semasa ke semasa," titah baginda.

Berita Harian X